ADUN pembangkang Kedah akan menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, esok. FOTO Amran Hamid
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Lima belas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Kedah dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, esok dipercayai berkaitan kemelut politik di Kedah.

Mereka terdiri lapan ADUN PAS, dua ADUN DAP, empat ADUN PKR dan satu ADUN mewakili AMANAH.

ADUN Anak Bukit (PAS) yang juga Ketua Pembangkang Datuk Amiruddin Hamzah ketika dihubungi mengesahkan mendapat jemputan bagi menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah, esok.

ADUN Tokai (PAS) Datuk Mohamed Taulan Rasul yang dihubungi turut mengesahkan menerima panggilan daripada pejabat Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) pada 5.30 petang tadi.

Satu-satunya wakil AMANAH yang juga ADUN Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi pula berkata, melalui panggilan telefon terbabit, pihak SUK tidak memaklumkan lebih lanjut berhubung pertemuan itu.

Difahamkan, semua ADUN pembangkang mengadakan pertemuan malam ini di Sungai Petani bagi mendapatkan konsensus sebelum dipersembahkan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 8:32 PM