Mayat Suresh yang ditemui dibawa naik ke tebing - Foto Ihsan PDRM
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Cameron Highland: Mayat lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Habu di sini, petang semalam, sudah ditemui pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai S Suresh, 22, dilaporkan hilang jam 5.30 petang semalam, selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melihat kawasan memancing di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highland Deputi Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, mayat mangsa ditemui 10.25 pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat disambung jam 9 pagi tadi.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di tapak projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) di Tanah Rata di sini, dipercayai singgah di tempat kejadian bersama tujuh rakan untuk melihat lokasi memancing.

Katanya, mangsa dipercayai berjalan di tebing sungai curam, tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai lalu tenggelam.

"Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highland meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh berikutan ketiadaan pasukan skuba.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini, untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 3:43 PM