INFRASTRUKTUR Malaysia yang moden mampu menarik pelabur asing.
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Malaysia masih mampu menarik kehadiran pelabur dari dalam dan luar negara biarpun berdepan dengan tekanan kelemahan nilai ringgit berikutan kejatuhan harga minyak.

Kemampuan berdasarkan kekuatan tersendiri yang dimiliki negara termasuk sektor pengilangan yang sudah berusia 40 tahun, infrastruktur mencukupi selain memiliki sistem perbankan dan sistem telekomunikasi moden.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, faktor itu menjadi pendorong utama menjadi pemangkin pelaburan ke dalam negara.

“Saya akui pelaburan tahun ini tidak sebaik seperti tahun lalu kerana kekangan dan tekanan di luar bidang kuasa negara.

“Bagaimanapun, masih ada pelabur yang berminat melabur ke Malaysia, buktinya, baru-baru ini kita memperoleh pelaburan besar daripada sebuah syarikat multinasional dari Amerika Syarikat iaitu Honeywell,” katanya pada sidang media sempena Seminar Rantaian Bekalan Industri Makanan di sini, semalam.

Beliau hadir mewakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed merasmikan seminar itu.

Azman berkata, sehingga September tahun lalu, Malaysia berjaya menarik pelaburan sehingga RM85.8 bilion membabitkan pelbagai sektor.

“Berdasarkan sasaran Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dari segi realitinya, kita tidak pasti dapat lepasi sasaran atau sebaliknya. Bagaimanapun, kita akan jalankan pelbagai program termasuk mengadakan seminar, menggalakkan cukai serta menyediakan dana dengan menarik lebih banyak pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 7:02 AM