PENGURUSAN kesulitan ini perlu dilakukan melalui pendekatan kaedah kombinasi tetap.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Apabila membicarakan mengenai kesihatan kulit, tidak ramai yang ambil kisah mengenai kebersihan bahagian kulit badan. Ini kerana lebih ramai yang mengambil berat mengenai kecantikan kulit wajah berbanding badan hingga adakalanya masalah yang dihadapi bertambah teruk sebelum mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan di klinik.

Perlu kita faham kulit ialah organ homeostasis yang penting, malah ia adalah organ manusia paling besar memiliki berat sekitar enam paun.

Kulit bertindak sebagai rintangan di antara persekitaran luar dan dalam badan iaitu sebagai pemisah. Kulit memainkan peranan penting dalam melindungi otot dan organ manusia.

Justeru, forum Primary Care Skin 2016 yang membincangkan mengenai pengurusan masalah kulit kronik seperti dermatitis atopik, seborrheic dermatitis dan akne vulgaris, baru-baru ini dianggap penting bagi mengemas kini maklumat terbaru menganai masalah kulit dan kaedah rawatan bagi membantu pesakit mendapatkan penjagaan kulit terbaik.

Forum berkenaan diadakan hasil kerjasama Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM), Persatuan Paediatrik Malaysia (MPA), Majlis Perubatan Malaysia (MMA) Selangor, Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Selangor dan Kuala Lumpur (PMPASKL) dan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM).

Forum berkenaan berakhir dengan majlis menandatangi tiga buku panduan. Antaranya, The Role of Medical Device in Flare and Remission Treatment of Atopic Dermatitis, Consensus Recommendations for the Diagnosis and Management of Seborrheic Dermatitis in Asian Patients, Meeting the Challenges of Acne Treatment: An Evaluation of the Role of Dermocosmetics in Management of Acne Vulgaris in Malaysia dan Seborrheic Dermatitis.

Buku panduan berkenaan ditandatangani Ketua Bahagian Dermatologi University of Catania, Itali, Profesor Dr Giuseppe Micali.

Dermatatis atopik

Menurut Presiden PDM Dr Henry Foong Boon Bee, masalah kulit adalah kes paling banyak dilaporkan dan mendapat pemeriksaan di klinik rawatan asas.

“Antara masalah kulit yang biasa dihadapi ialah dermatitis atopik (AD) atau lebih dikenali sebagai ekzema. Pelbagai mitos dan salah faham berkaitan AD sering diperkatakan.

“Namun, perkara penting yang perlu kita tahu ialah empat komponen asas yang merujuk kepada ekzema iaitu kulit kering, rasa gatal, keradangan dan jangkitan,” katanya.

Ekzema selalunya terdapat di muka, pergelangan tangan, pertengahan siku dan lutut. Biasanya kanak-kanak mendapat ekzema sebelum berumur lima tahun. Kebanyakan kanak-kanak membesar tanpa masalah ini jika mereka tidak menghadapi alahan atau asma.

“Disebabkan keadaan AD yang pelbagai, pengurusan masalah ini perlu dilakukan melalui pendekatan kaedah kombinasi yang tetap. Kombinasi cara mengatasi masalah AD terdiri daripada pelembap, pencuci, pakej antigatal, steroid, antibiotik dan antiseptik yang ringan.

“Semua cara pengurusan masalah berkenaan sebagai penjagaan tambahan bagi mengatasi ekzema yang dicetuskan oleh faktor alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, terdapat rawatan terkini iaitu alat perubatan topikal untuk membantu merawat AD dikenali sebagai Atopiclair. Rawatan baru ini digunakan dengan cara disapu terus pada kulit, menggunakan formulasi separa pepejal dan diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) untuk merawat pelbagai jenis masalah kulit termasuk AD.

Berbeza dengan produk kosmetik di pasaran, alat perubatan mempunyai indikasi yang lebih spesifik dengan bukti saintifik untuk menyokong penggunaanya.

Memetik daripada buku panduan bertajuk ‘The Role of Medical Device in Flare and Remission Treatment of Atopic Dermatitis’, enam perunding diwakili pakar kulit, dermatologi pediatrik, pakar alergi dan ahli imunologi mencapai kata sepakat bahawa peralatan perubatan itu memainkan peranan penting sebagai ejen emolien.

Malah, ia juga boleh digunakan bagi rawatan monoterapi dalam kes AD ringan dalam mencegah masalah berkenaan daripada bertambah teruk.

Antara ubatan yang disokong sepenuhnya oleh kertas kajian ialah Atopiclair iaitu krim hypoallergenic (yang tidak menimbulkan alahan) dan bukan steroid yang dapat membantu dalam pembaikan halangan kulit di samping mengurangkan kitaran ulangan kulit kering, gatal, keradangan dan jangkitan pada pesakit.

“Bukan hanya gejala yang dialami perlu diambil perhatian, malah kos perbelanjaan untuk pesakit AD juga harus ditekankan. Dalam satu kajian perbandingan terhadap emolien biasa, krim berkenaan didapati lebih berkesan sebagai pelembap dengan kos yang efektif bagi mengawal masalah AD,” katanya.

Seborrheic dermatitis

Selain ekzema, masalah seborrheic dermatitis (SD) adalah penyakit radang kulit yang biasa dialami kebanyakan individu. Ia mempunyai ciri seperti luka bersisik biasanya berlaku pada bahagian kulit kepala, garis rambut dan muka.

Menurut pakar perunding dermatologi Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Noor Zalmy Azizan, pesakit dengan masalah SD sukar dikesan dan dirawat.

“Kebanyakan masalah SD ringan dikesan dalam kalangan orang dewasa. Ia dikesan dalam bentuk kelemumur yang tidak terkawal. Pada bayi, SD boleh menyebabkan kupingan keras pada bahagian kepala dan dikenali sebagai ‘cradle cap’.

“Malah, ia juga boleh menyebabkan kemerahan pada bahagian leher, ketiak dan celah kelangkang,” katanya.

Menurutnya, masalah SD yang berlaku pada bayi biasanya tidak meninggalkan rasa gatal yang keterlaluan. Justeru, bayi tidak berasa terganggu dengan ruam itu dan keadaan berkenaan biasanya mula menghilang apabila bayi berusia 12 bulan.

Bagaimanapun, SD yang berlaku dalam kalangan orang dewasa mungkin boleh menyebabkan kewujudan tompok bersisik merah atau kuning dan putih pada kulit kepala, belakang telinga, serta kening.

Punca sebenar masalah kelemumur masih tidak diketahui. Pada masa kini, teori utama punca kelemumur disebabkan sejenis kulat yang dikenali sebagai malassezia.

Kelemumur boleh dilihat membentuk kuping pada bahagian kepala. Kebanyakan pesakit, kuping yang terjatuh pada bahagian bahu menjadi masalah utama.

Bagi sesetengah pesakit pula, rasa gatal pada kulit kepala adalah masalah utama mereka. Kelemumur juga boleh menyebabkan kemerahan pada kepala, muka, dada dan belakang badan.

“Ada juga pesakit SD mengalami masalah kelemumur yang teruk pada bahagian muka. Masalah berkenaan juga boleh membentuk keradangan di kelopak mata, hidung dan bibir, atas badan, ketiak serta kawasan pangkal paha.

“Kegatalan dan kupi–ngan berlebihan di bahagian yang boleh dilihat itu menyebabkan rasa malu serta kurang keyakinan diri kepada pesakit.

“Ini kerana melalui penampilan berkenaan boleh menyebabkan orang di sekeliling memberi tafsiran salah kerana ia kelihatan sangat kotor dan tidak menjaga kebersihan diri,” katanya.

Masalah kelemumur tidak dapat sembuh sepenuhnya, tetapi ia boleh dirawat. Namun, dari segi rawatan ia agak terhad.

Acne vulgaris

“Acne vulgaris ialah penyakit radang kelenjar sebum yang kronik pada muka, dada serta belakang yang perlu dirawat oleh pakar kesihatan,” kata pakar perunding dermatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Lee Yin Yin.

Ia adalah masalah gangguan keradangan kronik folikel rambut dan kelenjar minyak yang biasa berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa.

Dr Lee berkata, rawatan yang ada pada masa kini kadangkala boleh meningkatkan iritasi kulit pesakit seperti kulit kering, sensitif, terbakar, rasa pedih, kemerahan, radang dan sensitif kepada cahaya matahari.

Selama ini, preskripsi ubat topikal dan antibiotik turut menjadi punca utama dalam masalah acne vulgaris ini. Memetik laporan daripada Asia Pacific Acne Leaders’ Summit 2015 yang ke-4 menjelaskan bahawa pencegahan dan mengelak punca masalah berkenaan adalah langkah penting yang perlu diberi perhatian.

“Pada tahun ini, rawatan kaedah dermocosmetic diperkenalkan sebagai terapi baru di negara ini bagi penghidap masalah berkenaan. Dermocosmetic ialah satu cabang dermatologi berkenaan dengan penampilan estetik kulit.

“Ia menggabungkan rawatan kosmetik dan farmaseutikal yang memberi tumpuan kepada penjagaan kulit, kerosakan kulit seperti jerawat, kedutan dan kemerahan di samping meningkatkan kesihatannya,” katanya.

Rawatan berkenaan adalah hasil persetujuan yang dicapai oleh pakar kulit dalam persidangan berkenaan. Misalnya, Papulex yang dihasilkan menerusi kajian oleh pakar kulit seluruh dunia dengan bahan aktif nikotinamida, zink PCA dan anti-bacterial adhesive technology (ABA) yang dipatenkan bagi membantu menyekat kehadiran bakteria P. acne, meningkatan pengeluaran sebum dan keradangan jerawat.

“Kajian menunjukkan bahawa empat peratus gel nikotinamida berkesan setanding dengan satu peratus gel clindamycin, sapuan antibiotik yang biasa digunakan dalam rawatan masalah jerawat di negara ini.

“ABA membantu menghalang bakteria P. acnes bercambah, pembentukan selaput biologis dan melekap pada kulit jerawat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:17 AM