Oleh Ridzuan Abdul Rahman mohamad
ridzuan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Dominasi Datuk M Nasir sebagai komposer yang menerima royalti tertinggi daripada Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) saban tahun akhirnya lebur apabila tewas kepada Edry KRU.

Beliau gagal mengekalkan gelaran Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak pada majlis Malam Ulangtahun Jubli Perak MACP 2014 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun syarikat miliknya Luncai Emas Sdn Bhd masih unggul apabila memenangi gelaran Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Akim Ahmad pula terpilih sebagai Komposer Muda Berpotensi manakala Yuna dan Mike Einziger memenangi kategori Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak menerusi lagu I Wanna Go.

Kategori Lagu Melayu Persembahan Terbanyak dimenangi Malique menerusi lagu Bawaku Pergi nyanyian Zizan & Kaka.

Sementara itu, penulis lirik terkemuka yang banyak menghasilkan lagu popular seperti Salam Terakhir, dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Habsah Hassan sekali lagi diangkat sebagai Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak.

Pemilihan pemenang anugerah itu dibuat berdasarkan keputusan pengagihan royalti MACP sepanjang 2014.

Majlis makan malam dan penyampaian anugerah itu diadakan bagi mengiktiraf pencipta lagu terunggul dan lagu dengan persembahan terbanyak menerusi radio, televisyen, tempat awam dan telefon bimbit.

Komposer Saari Amri pula diiktiraf sebagai pemenang anugerah Nadi Cipta.

Penerima anugerah lain ialah Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak (I Got A Boy) nyanyian Girls Generation, Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak (EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd), Lagu Cina Persembahan Terbanyak (Fen Kai Yi Hou) nyanyian Fuying & Sam dan Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi (Tong Hua) nyanyian Michael Wong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 12:48 AM