Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Kesihatan masih menjalankan kajian berhubung kegunaan jus daun betik sebagai penawar demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kajian klinikal oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap jus daun betik di dalam pesakit denggi (denggi tidak berdarah dan denggi berdarah kelas satu) menunjukkan pengambilan 30 mililiter (ml) atau dua sudu besar jus daripada dua daun betik matang setiap hari, selama tiga hari menaikkan jumlah platelet.

"Peningkatan platelet ini hanya satu daripada pelbagai proses yang berlaku dalam pesakit yang menghidapi demam denggi.

"Kajian masih lagi diadakan berkaitan kegunaan jus daun betik bagi demam denggi. Pihak kementerian juga tidak menyediakan jus daun betik di hospital kerajaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pokok betik tergolong dalam kumpulan 'cyanogenesis' lemah iaitu yang menghasilkan hidrogen sianida (hydrogen cyanide) dalam kuantiti sedikit [terdapat 0.02 miligram (mg) sianida dalam empat helai pucuk daun betik dan jumlah ini berkurangan apabila daun itu bertambah matang].

Katanya, dos sianida paling rendah untuk memudaratkan manusia adalah sebanyak satu mg bagi setiap kilogram (kg) berat badan.

Oleh itu, katanya, seseorang yang mempunyai berat badan 60 kg memerlukan 12,000 helai daun betik pada satu masa untuk mengakibatkan keracunan.

"IMR sudah menjalankan kajian keselamatan dengan mengenakan dos tertinggi 2,000 mg bagi setiap kg berat badan diuji dalam haiwan makmal.

"Dalam kajian ini, tiga jenis cara pengambilan digunakan iaitu satu dos sahaja, satu dos setiap hari selama 28 hari dan satu dos setiap hari selama 90 hari, hasilnya didapati tiada kesan sampingan didapati pada buah pinggang, hati dan jantung.

“Keputusan ujian darah pula adalah normal sementara kajian khusus ke atas hati (kajian hepatotoksiti) juga adalah normal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 7:13 PM