REKAAN menarik untuk ruang santai.
Oleh Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Menemui tiga tukang mahir seni buluh di Pusat Inkubator Buluh Simpang Pertang, Negeri Sembilan, Rabu lalu, menyingkap 1,001 cerita keindahan produk rimba itu.

Mengakui ia tidak pernah lapuk ditelan zaman, buluh hakikatnya berada dalam kelas tersendiri apabila dijadikan perabot atau aksesori hiasan dalaman.

Percaya kepada kekuatan dan daya tarikan elemen penting untuk ruang kediaman itu, Abdullah Salleh, 43, tidak pernah kering idea menggarap sebanyak mungkin rekaan demi memenuhi permintaan pelanggan.

“Siapa kata buluh tidak lagi diperlukan atau kurang diminati atau hanya sesuai untuk kediaman di kampung saja?

“Buktinya masih ramai meminati seni rimba ini, malah sangat teruja sebaik melihat rekaan diketengahkan,” katanya yang turut berkongsi pengalaman dan menimba ilmu mengenai dunia penghasilan perabot berasaskan rotan di pusat inkubator itu.

Malah, anak kelahiran Kuala Nerang, Kedah itu juga tidak menang tangan menyiapkan perabot buluh mengikut permintaan pelanggan.

“Selari dengan kemodenan, rekaan dihasilkan lebih kepada gaya moden dan kontemporari selain pilihan warna yang menepati pelbagai idea dekorasi.

“Daripada gaya klasik, Nusantara hingga mewah, semuanya lebih memberikan impak tersendiri apabila set perabot buluh diketengahkan,” katanya yang sangat menghargai keprihatinan Kraftangan Malaysia itu.

Abdullah yang menggelar perusahaannya sebagai Saudagar Bamboo berkata, sejak menceburi dunia penghasilan perabot berasaskan buluh pada 2013, antara kekuatan lain pada seni rimba berkenaan ialah sifatnya.

“Buluh antara alternatif atau pengganti kepada kayu. Ini hanya mengambil masa kira-kira empat tahun untuk matang bagi membolehkannya ditebang untuk dijadikan perabot,” katanya.

Bagi rakannya, Mohd Nazir Saari, 32, perabot berasaskan buluh mempunyai potensi yang sangat besar dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Bermula sekadar mencuba, akhirnya saya akur ia ada aura semula jadi yang berupaya menghidupkan suasana ruang kediaman atau pejabat.

“Apatah lagi ramai memilih konsep suai padan dengan menjadikan perabot buluh sebagai elemen hiasan utama,” katanya yang juga anak kelahiran Kuala Nerang.

Dalam mengagumi kemahiran Abdullah, Mohd Nazir yang turut bergelar pengusaha kepada syarikat dinamakan Mohamad Nazir Bin Saari itu, melihat ia satu persaingan sihat.

“Sekurang-kurangnya kita dapat melihat sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap rekaan perabot buluh.

“Dari situ kami sama-sama bersaing dan meletakkan perabot dihasilkan dengan identiti tersendiri,” kata Mohd Nazir.

Tidak terkecuali, Md Yusof Abd Latif, 60, yang turut menyerikan pusat inkubator di bawah Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan itu menerusi penghasilan aksesori hiasan dan cenderahati buluh.

Ketika menemu bual insan berbakat ini, tangannya tidak henti-henti menyiapkan bilah buluh untuk menghasilkan dulang pelbagai guna.

“Kini buluh bukan hanya hiasan semata-mata, ia boleh juga digunakan dalam kehidupan harian termasuk meraikan tetamu.

“Perkembangan dunia dekorasi yang unik itulah memberikan idea kepada saya untuk menghasil­kan produk hiasan terbaik berasaskan buluh,” kata anak kelahiran Kuala Pilah itu.

Malah, beliau tidak menafikan kerja-kerja tangan untuk produk buluh memerlukan ketelitian dan kesungguhan sepenuhnya.

Menariknya, semua perabot dan produk kraf buluh yang dihasilkan diperagakan pada ruang pameran pusat inkubator itu.

Sesiapa saja pasti teruja menyaksikan pelbagai perabot di situ yang tentunya memenuhi cita rasa semua lapisan masyarakat.

Menurut Pengarah Kraftangan Malaysia Cawa­ngan Negeri Sembilan Abdul Halim Ali, kini pengusaha di inkubator itu sibuk menyiapkan produk kraf untuk Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2016 yang dijangka berlangsung pada 24 Februari hingga 6 Mac ini.

“Masing-masing bakal menawarkan keunikan perabot dan aksesori hiasan pelbagai guna buluh termasuk dulang dan bingkai gambar.

“Pada masa sama kraf lain turut diketengahkan termasuk hasil rimba seperti rotan, logam, batik dan aneka kraf,” katanya.

Layari www.kraftangan.gov.my untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:01 AM