Idris merasmikan SUKIPT 2016, di Stadium UTM, malam tadi. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Oleh Mohd Sabran Md
Sanisab@hmetro.com.my

Johor Bahru: Penganjuran Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) bukan saja berupaya melahirkan atlet cemerlang pada peringkat ASEAN, malah sukan Olimpik pada masa akan datang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia bertepatan dengan usaha membangun dan mengekalkan bakat berkualiti tinggi khususnya dalam sukan.

"SUKIPT memberi satu ruang yang sangat luas kepada mahasiswa untuk mula terbabit secara aktif dalam sukan, selain memberi impak menyeluruh dalam pelbagai aspek pembangunan sukan negara di IPT.

"Penyertaan terbuka untuk kejohanan ini mewujudkan satu persaingan kompetitif kepada lebih ramai atlet di IPT," katanya dalam ucapan perasmian SUKIPT 2016, di Stadium UTM, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ir Wahid Omar.

Katanya, beberapa elemen baru diperkenalkan pada edisi SUKIPT kali ini bagi memberi satu persaingan yang lebih kompetitif dan memberi peluang menyeluruh kepada atlet.

“Dua elemen baru diberi tumpuan adalah atlet kurang upaya dan juga IPT antarabangsa dalam kalangan negara ASEAN," katanya.

Temasya itu menawarkan 245 pingat emas, 245 perak dan 351 gangsa mempertaruhkan 25 acara sukan termasuk badminton, tenis, boling, bola tampar, taekwando, renang, lawan pedang, catur, olahraga dan ping pong.

Seramai 8,000 atlet dari 102 kontinjen dan 1,200 sukarelawan berkampung di UTM bagi SUKIPT edisi ketiga berma 25 Januari hingga 5 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 11:59 PM