Barangan yang dirampas. FOTO Mohd Nazrulaswad Hamdan
Oleh Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


Ipoh : Polis menahan dua lelaki dipercayai ahli sindiket mencuri kenderaan di sekitar bandar ini dalam serbuan di rumah di Taman Song Choon di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira 10.30 pagi itu, dalang sindiket yang berusia 40 tahun dan seorang lagi berusia 34 tahun ditahan bersama 19 barangan dipercayai alat mencuri kenderaan.

Antara yang dirampas, sarung tangan, pemotong dawai, tiga jenis penukul dan gergaji besi serta pembuka skru tayar.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata kedua-dua suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan sejak dua tahun lalu.

"Soal siasat yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam 10 kes terutama membabitkan kecurian lori di kawasan bandar ini termasuk Tanjung Rambutan, Mengelembu, dan Pekan Bharu.

"Kedua-dua suspek dipercayai mendapat arahan menjalankan kegiatan jenayah berkenaan dan kemudiannya menyerahkan kenderaan yang dicuri kepada pihak lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh hari ini.

Chang Keong berkata, sindiket itu turut dipercayai dianggotai lebih daripada dua orang ahli dan polis masih meneruskan siasatan.

Katanya, suspek direman sehingga 31 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 4:58 PM