KOMPLEKS As-Sa’adah, Seremban, Negeri Sembilan.
PUSAT Perlindungan Wanita, Johor Bahru, Johor.
KOMPLEKS Pendidikan Al-Mashor (JAWHAR-MAINPP), Pulau Pinang.
HOTEL Seri Warisan (JAWHAR-MAIPk) Taiping.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Anda mungkin pernah menginap di hotel ini, tetapi tahukah anda ia dibina di atas tanah wakaf? Hotel berkenaan ialah Hotel Pantai Puteri di Melaka, Kelana Beach Resort di Port Dickson, Hotel Seri Warisan di Taiping dan Hotel Grand Puteri di Kuala Terengganu.

Itu antara contoh bagaimana tanah yang diwakafkan dimajukan sebelum hasilnya digunakan untuk faedah umat Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Anan C Mohd berkata, Malaysia mempunyai sejumlah besar tanah wakaf yang masih terbiar dan tergendala untuk dimajukan meliputi keluasan seluas 11,091.82 hektar terdiri daripada wakaf am dan wakaf khas.

Bilangan keluasan tanah wakaf am merangkumi 4,836.5 hektar dan selebihnya 6,255.32 hektar adalah tanah wakaf khas.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam wajar berbangga dengan kemajuan dicapai negara ini sehingga mampu menjana ekonomi rakyat apabila hartanah wakaf berjaya dimajukan.

JAWHAR memba­ngunkan 17 projek berimpak besar dengan kerjasama dan persetujuan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) membabitkan peruntukan RM290.62 juta manakala keluasan tanah wakaf dimajukan berjumlah 23.771 hektar.

“Kejayaan ini seharusnya menjadi kebanggaan umat Islam di Malaysia kerana manfaatnya diberikan pewakaf untuk kegunaan dan kemudahan orang ramai,” katanya.

Antara projek wakaf berkenaan ialah:

1. Pembinaan lapan unit ruang niaga di Mukim Ulu Kinta, Tambun, Perak.

2. Pembinaan 16 unit rumah kedai di Mukim Utan Aji, Perlis.

3. Sebuah kompleks pendidikan dilengkapi asrama dan kemudahan pembelajaran kondusif memuatkan 1,000 pelajar dikenali sebagai Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor di Balik Pulau, Pulau Pinang.

4. Sebuah blok asrama anak yatim dan pentadbiran menempatkan 50 pelajar anak yatim perempuan di Mukim Derga, Alor Setar.

5. Sebuah blok asrama anak yatim dan pentadbiran menempatkan 50 pelajar anak yatim lelaki di Machang, Kelantan.

6. Sebuah Pusat Saudara Baru dikenali sebagai Kompleks Darul Sa’adah Seremban dilengkapi asrama dan kelas pengajian bertujuan memperkukuhkan pemahaman Islam kepada saudara baru berbangsa Tionghua.

7. Sebuah Pusat Dialisis di Batu Pahat, Johor menyediakan rawatan kepada 78 pesakit buah pinggang dan boleh ditingkatkan ke tahap maksimum 222 pesakit sebulan dengan mengenakan caj rendah.

8. Sebuah pusat perlindungan wanita di Taman Perling, Johor yang berupaya menampung 100 penghuni serta kemudahan bilik penginapan, dewan, bilik kaunseling, bilik latihan dan ruang makan kepada wanita teraniaya.

9. Sebuah hotel di Pantai Puteri, Melaka, menyediakan 87 bilik dikenali sebagai Hotel Pantai Puteri (JAWHAR-MAIDAM).

10. Sebuah hotel dan pusat peranginan di Port Dickson, Negeri Sembilan menyediakan 82 bilik, tiga pangsapuri, kolam renang dan Kompleks Baitulhilal dikenali sebagai Hotel Klana Beach Resort (JAWHAR-MAINS).

11. Sebuah hotel di Taiping, Perak mempunyai 45 bilik dikenali sebagai Hotel Seri Warisan (JAWHAR-MAINPK).

12. Sebuah hotel di Kuala Terengganu menyediakan 180 bilik, kolam renang dan kemudahan lain dikenali Hotel Grand Puteri (JAWHAR-MAIDAM).

13. Sebuah asrama pelajar mempunyai dua blok asrama lelaki dan perempuan untuk menampung 200 pelajar di Besut, Terengganu.

14. Menubuhkan entiti wakaf peringkat kebangsaan dengan sumbangan dana.

15. Menyediakan kemudahan peralatan teknologi canggih untuk Dewan Besar Kompleks Islam Kuching, Sarawak.

Sementara itu, terdapat dua projek masih dalam pembinaan iaitu:

1. Pangsapuri kos sederhana rendah di Butterworth, Pulau Pinang yang menyediakan 152 unit kediaman.

2. Perumahan kos sederhana rendah di Su­ngai Nibong, Pulau Pinang menyediakan 77 unit kediaman.

Amat dialu-alukan tapi perlu patuhi prosedur

Masih ramai umat Islam tidak mengetahui amalan bersedekah juga boleh dilakukan melalui agensi atau institusi tertentu.

Ini kerana mereka mungkin sudah terbiasa dengan amalan bersedekah di masjid, untuk anak yatim atau memberi terus kepada peminta sedekah di jalanan.

Ramai juga kurang memahami konsep wakaf yang juga antara cabang amal jariah. Malah pewakaf menerima pahala berterusan apabila harta wakaf itu dimanfaatkan untuk kegunaan umat Islam.

Dari segi istilah, wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta itu daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber ainnya (fizikal).

Wakaf ialah suatu pemilikan yang tidak sempurna kerana pemilikan ain (benda yang diwakafkan) adalah kerana Allah atau dihukumkan sebagai milik Allah meskipun manfaat atau hasil wakaf itu kepunyaan ‘maukuf alaih’ iaitu pihak atau orang yang ditentukan menerima manfaat wakaf.

Wakaf ialah suatu pemberian atau sumbangan ikhlas sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan syarak.

Harta wakaf boleh digunakan untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi ummah seperti mendirikan projek komersial seperti hotel wakaf, pusat perniagaan, projek sosial seperti rumah anak yatim, pusat perlindungan dan sebagainya selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261 bermaksud: “Bandingan (perbelanjaan derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”.

Hadis riwayat Muslim turut menjelaskan mengenai kepentingan berwakaf yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasullullah SAW bersabda: “Apabila mati anak Adam akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya”.

Di Malaysia, hal ehwal berkaitan Islam terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa sultan setiap negeri. Sultan mewakilkan kuasanya itu kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mengendalikan urusan keagamaan termasuk perkara berkaitan wakaf.

Menurut Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan: “...Hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuklah hukum syarak berhubung dengan wakaf Islam dan takrif... keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini...”.

Bagi membantu menyelaras urusan pentadbiran dan pengurusan wakaf di seluruh Malaysia, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada 27 Mac 2004.

MAIN pula berperanan sebagai pemegang amanah tunggal ke atas semua harta wakaf di Malaysia. Perkara ini termaktub dalam enakmen wakaf di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Wajar kepada masyarakat memahami aspek, fungsi dan kepentingan wakaf bagi menjana serta membangunkan ekonomi umat Islam.

Malah, berwakaf sangat dialu-alukan kepada mereka yang berkemampuan sama ada dari segi kewangan mahupun ingin mewakafkan harta yang dimiliki.

Ketua Pengarah JAWHAR Datuk Anan C Mohd berkata, ada beberapa prosedur perlu dipatuhi jika orang ramai mahu mewakafkan harta terutama harta tidak alih seperti tanah dan bangunan.

“Orang ramai digalak berhubung dengan pegawai wakaf di MAIN masing-masing mengikut lokasi harta tidak alih yang hendak diwakafkan.

“Lebih baik jika masyarakat mengetahui dan memahami rukun serta syarat wakaf bagi memudahkan MAIN membangunkan hartanah itu, selain menjaga pewakafan itu selama-lamanya.

“Pegawai wakaf di MAIN sentiasa bersedia untuk membantu melengkapkan borang pendaftaran tanah wakaf.

“Jika seseorang itu benar-benar mahu berwakaf, dia disyorkan membawa geran tanah bagi memudahkan MAIN berurusan dengan Pejabat Tanah tempat wakaf yang akan diletak hak di bawah seliaan MAIN sebagai pemegang amanah tunggal wanah wakaf di negeri masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, JAWHAR turut mengambil inisiatif menerbitkan Manual Pengurusan Tanah Wakaf (2006) bagi membantu MAIN selain memudahkan orang ramai memahami prosedur dan tatacara mewakafkan tanah secara lebih mudah dan jelas.

Halangan mengisytiharkan status tanah sebagai tanah wakaf

Setiap wakaf perlu didaftarkan hak milik tanah agar hartanah dan status pemilikan tanah berkenaan menjadi jelas dan terjamin.

Bagaimanapun, MAIN tidak dapat mendaftarkan tanah wakaf lama yang belum dipindah milik dan belum didaftarkan atas nama MAIN atas beberapa sebab apabila:

1. Pewakaf meninggal dunia

2. Geran di atas nama penghulu atau kadi

3. Wakaf dilakukan secara lisan dan tanpa dokumen sokongan

4. Hartanah masih di atas pemegang amanah lain

5. Tanah pertanian bersaiz kurang daripada 2/5 hektar

“Bagi membolehkan tanah wakaf lama didaftarkan, JAWHAR mengeluarkan Manual Pengurusan Perletakan Tanah Wakaf (2010) sebagai panduan dan rujukan bagi membantu MAIN mendaftarkannya di Pejabat Tanah Daerah dan Galian secara teratur.

“JAWHAR turut mengadakan perbincangan de­ngan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Putrajaya bagi memudahkan urusan pendaftaran khas untuk tanah wakaf menerusi Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) yang diguna pakai semua Pejabat Tanah dan Galian seluruh Malaysia.

“Menerusi penambahbaikan sistem ini, perkataan ‘wakaf’ dicatatkan dalam geran hak milik tanah bagi mengesahkan ia adalah tanah wakaf yang diletak di bawah seliaan dan hak kawalan MAIN,” kata Anan.

Menurutnya, negara mempunyai sejumlah besar tanah wakaf yang masih terbiar dan tergendala untuk dimajukan meliputi keluasan seluas 11,091.82 hektar terdiri daripada wakaf am dan wakaf khas.

Bilangan keluasan tanah wakaf am merangkumi 4,836.5 hektar dan selebihnya 6,255.32 hektar adalah tanah wakaf khas.

Isu dan masalah tanah wakaf

Ramai melihat ketidakberhasilan banyak tanah wakaf untuk menjana keuntungan atau digunakan bagi menampung kemaslahatan umat Islam sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Masyarakat pasti menuding jari kepada pengurusan agensi terbabit yang didakwa tidak memainkan peranannya dalam menangani masalah ini.

Hakikatnya, ada beberapa isu yang perlu diambil kira:

1. Dana kerajaan yang terbatas

Aspek kewangan memainkan peranan sangat penting dalam sebarang usaha pembangunan, terutama pembangunan membabitkan sektor hartanah.

Kekurangan dana menyebabkan kebanyakan tanah wakaf yang berpotensi untuk dimajukan tidak dapat dilaksanakan.

JAWHAR menerima banyak permohonan projek pembangunan tanah wakaf berpotensi tinggi daripada MAIN untuk dimajukan.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) 2006-2010, hanya beberapa plot projek diluluskan untuk dimajukan sebagai inisiatif merancakkan aktiviti pembangunan tanah wakaf dengan keizinan MAIN.

Di bawah RMK-10, tiada projek baru dilaksanakan, namun beberapa projek sambungan RMK-9 diluluskan untuk diteruskan pembinaannya.

Berdasarkan senario itu, kebanyakan tanah wakaf yang berdaya maju belum dapat diusahakan untuk meningkatkan sosio ekonomi masyarakat.

“Justeru, JAWHAR melaksanakan usaha lain untuk mencari dana alternatif bagi membiayai projek pembangunan hartanah wakaf, antaranya mengadakan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat, syarikat swasta dan institusi kewa­ngan.

“Usaha ini dipergiatkan JAWHAR dengan membabitkan lebih banyak pihak lain seperti PRIMA, PPA1M, Jabatan Perumahan Negara, TERAJU, syarikat korporat dan institusi kewangan menerusi kaedah NBOS untuk bersama-sama JAWHAR dengan kerjasama MAIN bagi merancakkan usaha pembangunan tanah wakaf di Malaysia,” kata Anan.

2. Pencerobohan Tanah Wakaf

Ada tanah wakaf yang strategik tetapi tidak dapat dibangunkan untuk manfaat lebih besar kepada masyarakat kerana didiami setinggan atau penyewa enggan berpindah.

Kes ini biasanya berlaku di kawasan bandar. Antaranya tanah wakaf di Kampung Makam dan Sheikh Abdul Cauder di Pulau Pinang.

MAIN Pulau Pinang sudah membawa kes pencerobohan tanah wakaf Sheikh Abdul Cauder ke mahkamah dan berjaya memenanginya walaupun perbicaraan mengambil masa agak lama.

Halangan ini melambatkan usaha MAIN memajukan hartanah berkenaan dengan lebih efektif.

3. Kekangan tenaga profesional

Kebanyakan pentadbiran dan pengurusan wakaf di MAIN dikendalikan Bahagian Baitulmal yang juga bertanggungjawab dalam urusan lain seperti pengurusan masjid, kutipan sewa bulanan dan penyelenggaraan bangunan milik MAIN.

Justeru, wujud kekurangan kakitangan dan kewangan hingga menyebabkan pembangunan tanah wakaf secara profesional tidak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Penubuhan Perbadanan Wakaf Nasional Berhad (PWNB) oleh negeri-negeri di Malaysia berupaya menyumbang dan meningkatkan kecekapan pengurusan wakaf di setiap negeri.

“PWNB syarikat subsidiari milik penuh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diamanahkan menjadi pelaksana kepada Program Wakaf Korporat.

“PWNB bertindak menguruskan hartanah wakaf secara profesional agar potensi dan manfaat wakaf dapat dioptimumkan ke tahap terbaik untuk kesejahteraan ummah.

“JAWHAR turut bekerjasama, menyaran dan menggalakkan MAIN lain turut sama menubuhkan Perbadanan Wakaf mengikut keperluan dan pertimbangan serta budi bicara MAIN masing-masing bagi meningkatkan kecekapan dalam bidang pengurusan dan perancangan pembangunan wakaf pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 11:58 AM