SKUAD ragbi Serdang Angels memenangi emas pada acara ragbi 7 sebelah di Padang Utama, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Oleh Redzuan Muharam
sukan@hmetro.com.my

Johor Bahru: Universiti Putra Malaysia (UPM) mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut dalam acara ragbi tujuh sebelah temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) selepas menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada perlawanan akhir di padang Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, semalam.

UPM mengungguli aksi akhir itu 48-5 manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.

UPM bermula garang apabila kaptennya Muhammad Siddiq Amir Jalil membuat try seawal minit pertama perlawanan.

Kubu pertahanan UniKL terus diasak hingga memberi kesempatan buat UPM mendahului 22-0 hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad UPM terus memperkemaskan kedudukan menerusi conversion yang dilakukan oleh pemain skuad negara Muhammad Ameer Nasrun Zulkefly.

Sebelum wisel penamat, UPM berjaya menyempurnakan conversion sekali gus memastikan mereka merangkul pingat emas.

Muhammad Siddiq berkata, dia berpuas hati dengan prestasi dan kesungguhan yang ditunjukkan rakan sepasukannya sepanjang perlawanan.

Penuntut semester enam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Proses dan Makanan itu berkata, kemenangan berkenaan juga tidak dijangka kerana hanya memulakan latihan bulan lalu selepas tamat peperiksaan akhir.

“Pasukan kami mempunyai sedikit kelebihan kerana dibarisi pemain skuad negara tapi kemampuan pasukan lawan juga tidak boleh disangkal.

“Malah, mereka memberi tentangan pada awal permainan namun komitmen semua pemain membantu kami mengekalkan kejuaraan.

“Harapan kami supaya kejuaraan ini bertahan untuk edisi temasya yang akan datang,” katanya yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Pengarah Pusat Sukan UPM Dr Hanafiah Ayob.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 8:51 AM