NAJIB diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Perbentangan Pengubahsuaian Bajet 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO Fariz Iswadi Ismail
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Kerajaan mencadangkan kepada Majlis Sains Negara supaya menggubal mekanisme bagi mengenal pasti peluang untuk mewujudkan industri baru berpaksikan Sains dan Teknologi di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha menggubal mekanisme itu boleh dilakukan menerusi Akademi Sains Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Beliau berkata, kerajaan berharap agar mekanisme itu membantu mengukuhkan modal insan dengan kerjasama ahli-ahli ekonomi.

"Mekanisme itu penting selaras dengan penubuhan Komuniti Ekonomi Asean dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di mana ia menyediakan akses pasaran antarabangsa serta mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika menyampaikan kata-kata aluan sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga menyarankan kepada Kementerian Pelajaran; Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi supaya dapat menggembeling tenaga merangka pelan tindakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang bersepadu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 6:49 PM