SINGLE terbaru Twenty One, Stressed Out di tempat ke-4 carta Billboard Top 100.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Aktif dalam industri muzik antarabangsa sejak 2009, nama Twenty One mungkin kurang dikenali dalam kalangan pendengar tanah air.

Pun begitu, single terbaru kumpulan duo itu, Stressed Out kini menjadi siulan ramai sejak kerap berkumandang di stesen radio tempatan.

Selepas dilancarkan pada April tahun lalu, single daripada album keempat kumpulan terbabit berjaya menduduki tempat keempat dalam carta lagu Billboard Top 100, di bawah Adele dan Justin Bieber.

Pencapaian besar itu sememangnya sukar dijangkakan vokalis Tyler Joseph dan pemain dram Josh Dun lebih-lebih lagi mereka memperjuangkan kepelbagaian muzik iaitu hip hop alternatif, pop elektro dan pop indie.

Ketika ditemu bual menerusi panggilan telefon baru-baru ini, Dun berkata, bukan mudah untuk mencipta hit lagu yang boleh memenuhi cita rasa pendengar.

“Proses mencari idea, menghasilkan lirik dan lagu sehingga ke rakaman di studio memberi tekanan kepada kami.

“Apabila mencipta lagu, kami perlu memikirkan cita rasa peminat, ahli keluarga, rakan dan juga bagaimana menjadikannya sebuah hit di stesen radio,” katanya.

Pemain dram berusia 27 tahun itu turut mengakui pada awalnya kurang yakin terhadap kejayaan album Blurryface selepas diperkenalkan kepada peminat pada Mac tahun lalu.

“Sejujurnya, menghasilkan album ialah perkara yang menakutkan kerana kami tidak tahu akan berjaya atau tidak.

“Pada mulanya, saya dan Tyler enggan meletakkan harapan tinggi namun percaya dengan kemampuan kami,” katanya.

Menarik mengenai album Blurryface, Dun berkata, beberapa lagu yang dimuatkan didedikasi khas bagi negara di Asia dan Iraq.

“Ada beberapa lagu dihasilkan inspirasi daripada konsert jelajah Quiet is Violent di Amerika Syarikat pada 2014 dan selebihnya adalah koleksi yang disimpan,” katanya.

Menurut Dun, Stressed Out menceritakan mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul seseorang apabila dewasa.

“Ia dihasilkan dengan mengimbau kembali pengalaman yang dilalui sewaktu zaman kanak-kanak,” katanya.

Menceritakan lanjut mengenai Twenty One Pilots, Dun berkata, campuran beberapa genre dalam lagu mereka datang daripada pengaruh muzik semenjak kecil.

“Kami membesar dengan mendengar pelbagai jenis muzik.

“Berbeza dengan sekarang, generasi dulu hanya mendengar satu jenis muzik. Ketika muzik hip hop popular, saya pula meminati lagu rock,” katanya.

Dun berkata, menghasilkan lagu bercampur hip hop, indie, punk dan rock memeriahkan lagi industri muzik.

“Memang seronok menghasilkan lagu seperti ini kerana ia juga menarik. Pada masa sama, saya dapat mencuba pelbagai jenis rentak dram,” katanya.

Mengenai perancangan untuk tahun ini, Dun berkata, Twenty One Pilots bakal menemui peminat di United Kingdom dan beberapa negara di Eropah menerusi konsert jelajah pada Februari ini.

Selepas itu, Dun dan Joseph akan ke Jepun, Brazil, Argentina dan Chile pada Mac sebelum meneruskan konsert jelajah di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 12:41 PM