PEMANDU teksi Perancis menyekat lalu lintas di Porte Maillot, Paris, ketika menyertai tunjuk perasaan peringkat kebangsaan, membantah persaingan daripada kereta sewa persendirian seperti Uber, semalam.

Paris: Syarikat kereta sewa yang beroperasi menggunakan aplikasi, Uber, diarah membayar ganti rugi berjumlah 1.2 juta euro (RM5.54 juta) kepada pemandu teksi di Perancis oleh sebuah mahkamah di sini, menurut dokumen yang dilihat AFP semalam.

Bayaran kepada Kesatuan Teksi Kebangsaan itu berikutan aduan pemandu Uber bertindak seperti teksi tradisional dengan menunggu di jalan raya untuk mendapatkan pelanggan.

Keputusan mahkamah itu dibuat pada hari kedua protes besar-besaran pemandu teksi yang berang dengan perkhidmatan Uber yang didakwa mengambil alih satu pertiga perniagaan mereka.

Uber Perancis dituduh kurang berkomunikasi dengan pemandunya mengenai peraturan untuk kereta sewa persendirian.

Menurut undang-undang Perancis, kereta sewa persendirian perlu balik semula ke garaj masing-masing selepas menghantar pelanggan dan tidak boleh meletak kenderaan atau berlegar di jalan raya.

Uber yang menafikan dakwaan itu menyatakan ia sering mengingatkan pemandunya pulang ke garaj masing-masing selepas perjalanan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 12:29 PM