ABDULLAH (tengah) menandatangani plak sebagai pelancaran ibu pejabat Aladdin Group Global, semalam.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aladdin Group Sdn Bhd (Aladdin), syarikat e-pasaran halal dan patuh syariah eksklusif berharap menyaksikan pendaftaran 1,500 peniaga dan pedagang berpotensi bagi menyediakan 30,000 produk melalui platform dalam talian bagi tempoh tiga tahun dari sekarang.

Pengasas Bersama Kumpulan dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, kewujudan alternatif terbabit bertujuan membantu peniaga mengenengahkan produk halal masing-masing ke pasaran lebih luas khususnya usahawan muda dalam memastikan produk pada standard tertinggi dengan sijil halal diiktiraf.

“Ia juga dibangunkan agar dapat mendidik orang bukan Islam untuk memahami mengenai konsep halal yang bukan semata-mata dapat dikaitkan dengan agama, tetapi mengenai kebersihan dan keselamatan produk halal itu sendiri.

“Kami berhasrat menjadikan laman web ini sebagai pusat e-dagang nombor satu di Malaysia dan portal pilihan bagi pengguna Malaysia. Kami yakin kerana kami telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan badan pentadbiran halal bagi memastikan hanya barangan dan perkhidmatan halal yang sahih serta premium sahaja diniagakan di laman web ini,” katanya pada sidang media majlis pelancaran ibu pejabat Aladdin Group Global oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama isterinya, Tun Jeanne Abdullah, di sini, semalam.

Menurutnya, Aladdin akan menyediakan landasan kepada usahawan mencapai dan menembusi 30 pasaran antarabangsa terutamanya negara berpopulasi tinggi seperti China, India, Indonesia dan negara-negara Timur Tengah selain berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab halal global.

Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Azizi Meor Ngah berkata, laman sesawang untuk pasaran domestik aladdinstreet.com.my yang bakal beroperasi pada akhir bulan ini manakala website antarabangsa aladdinstreet.com dirasmikan pada akhir suku kedua 2016 itu akan menawarkan pelbagai jenis produk merangkumi segmen farmaseutikal, fesyen, kosmetik dan kecantikan, makanan, perbankan dan kewangan serta banyak lagi.

“Kami turut bekerjasama dengan badan halal di setiap negera terbabit serta menawarkan khidmat rundingan berkaitan status halal demi menjamin barangan yang dijual mengikut kriteria standard halal dan syariah yang telah ditetapkan pada kualiti premium dan eksklusif.

“Selain itu, bagi menjamin kepuasan hati pelanggan daripada sudut penghantaran, Aladdin juga telah menjalinkan hubungan rakan kongsi bersama 170 syarikat logistik di seluruh dunia,” katanya sambil menambah pihaknya memperuntukkan dana bagi pemasaran dan promosi bernilai sehingga AS$100 juta berbanding pelaburan sebanyak AS$5 juta untuk pembangunan syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 6:40 AM