MEMAHAMI perasaan kanak-kanak melalui permainan atas pasir.
Oleh Kusyi Hirdan
wanita@hmetro.com.my

Penyakit masa kini yang boleh menyerang sesiapa saja ialah stres. Ia nampak sesuatu yang normal dan sentiasa ada. Ramai yang mengakui menghadapinya di suatu peringkat kehidupan ataupun dalam pekerjaan. Kemudian ia berlalu, dilupakan dan kehidupan diteruskan seperti biasa.

Bagaimana sekiranya stres itu tidak mudah ditangani? Ia menjadi stres melampau dan kemudian berubah kepada kerisauan yang sukar dikawal. Kemudian ia menjadi kemurungan pula. Keadaan akhirnya menjadi serius.

Ketika itu, yang terkena itu memerlukan bantuan supaya ia tidak berubah ke tahap yang lebih buruk lagi.

Ada yang menghadapi stres sejak kecil dan tidak diubat sehingga dewasa. Ada juga yang menghadapinya pada usia tua.

Menurut Kaunselor Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka Chen Meng Yee, jangan menyangka kalangan dewasa saja yang mendapat penyakit stres kerana mereka melalui alam universiti, pekerjaan mahupun perkahwinan kerana kanak-kanak juga mengalaminya.

“Kanak-kanak juga mendapat stres, tetapi mereka tidak tahu cara hendak memberitahunya. Ada yang dikesan seawal usia tujuh tahun mengalami masalah stres,” katanya.

Kita selalu menyangka orang dewasa saja yang terkesan dengan persekitaran mereka dan menjadi stres. Sebenarnya kanak-kanak juga terkesan terutama sekiranya permasalahan berlaku pada keluarganya.

Ibu bapa boleh melihat dan dapat mengesan keadaan tingkah laku anak yang berubah. Apabila ia nampak jelas ibu bapa perlu prihatin dan peka.

“Apabila kanak-kanak yang terbabit itu terlalu kecil, kita memang menghadapi masalah menyuruh mereka bercerita dan berterus terang. Selalunya mereka tak mahu cerita. Jadi pendekatan yang kami ambil di sini apabila dirujuk oleh pakar psikiatri adalah menggunakan pendekatan terapi sandtray (terapi pasir),” katanya.

Chen membawa kami masuk ke sebuah bilik khas bersebelahan pejabatnya. Ia kecil, tetapi selesa.

Ada sofa berwarna kuning, rak yang menempatkan berjenis-jenis permainan dan meja untuk dulang pasir. Beberapa belon berwarna-warni juga ada dan keseluruhan suasana di bilik itu sangat menarik perhatian kanak-kanak.

Melalui terapi ini kanak-kanak lebih senang bercerita dan ekspresi diri. Pihak kaunselor akan cuba memahami, mendengar, melihat apa yang berlaku dan cerita yang hendak disampaikan melalui apa yang dimainkan oleh kanak-kanak itu.

“Setiap sesi mengambil masa satu jam dan ketika itu kanak-kanak boleh memilih apa saja mainan yang mereka suka untuk disusun di atas pasir yang kita sediakan di dalam dulang khas. Mereka boleh memilih apa saja fantasi yang ada di fikiran mereka.

“Setiap kanak-kanak sememangnya unik dan tersendiri. Mereka tak akan membina binaan yang sama dalam menyampaikan rasa hati. Mereka ada dunia mereka tersendiri,” katanya.

Dari situ Chen memahami apa yang cuba disampaikan.

“Waktu itu kita bersembang sekali dengan si kanak-kanak. Contohnya ada patung lelaki dan perempuan, diletakkan berdua. Kenapa anak itu berbuat begitu? Apa isu yang ada dalam hatinya dan mahu disampaikan. Melalui permainan, kanak-kanak itu sebenarnya sedang bercerita. Kita cuba sampaikan tekaan kita kepadanya. Adakah ini perlambangan dia terhadap ahli keluarganya? Dia mahu ibu bapanya bersama, tetapi mereka bercerai juga.

“Ada satu wajah yang kami lukis gambaran sedih di permukaan kulit telur. Apabila kanak-kanak memilih objek ini sebagai salah satu barang mainan, ia mesti berkait rapat dengan kesedihan di hatinya. Selalunya apabila kita dapat meneka dengan betul apa yang cuba disampaikan, si kanak-kanak mudah menangis dan seterusnya akan lebih mudah berterus terang,” katanya.

Dari segi gender, kanak-kanak perempuan lebih mudah dikesan menggunakan pendekatan terapi pasir ini. Kanak-kanak lelaki pula lebih mudah menggunakan pendekatan melukis.

Menurut Chen, ibu bapa perlu mengenal pasti dan sedar anak mereka sedang melalui stres. Lihat pada perubahan anak kecil atau remaja mereka. Anak perempuan lebih mudah dilihat perubahannya berbanding lelaki yang susah dikesan.

- Peka sekiranya tingkah laku anak tiba-tiba berubah secara drastik. Selalunya ada yang tidak kena.

- Mereka tidak cukup tidur.

- Kelihatan tidak bermaya dan mudah penat.

- Tidak berminat untuk melakukan aktiviti.

- Suka bersendirian.

- Sikap berubah ganas.

- Makan lebih banyak daripada biasa.

- Panas baran dan kuat marah.

Apakah perkara biasa yang menyebabkan anak kita stres?

Stres di sekolah:

- Bermasalah dengan guru, tidak menyukai guru

- Masalah bahasa, tidak faham bahasa guru, sukar memahami pelajaran

- Mangsa buli

- Tidak mempunyai kawan kerana rasa tidak sesuai berkawan dengan sesiapa saja, rasa diri sangat unik, diri lebih pandai dan bijak daripada orang lain.

Stres di rumah:

- Tekanan dengan ibu bapa

- Tekanan dengan ibu atau bapa tunggal

- Tekanan dengan ibu atau bapa yang mempunyai banyak pasangan, poligami atau perempuan simpanan.

- Masalah dengan adik-beradik, ibu bapa pilih kasih.

- Sindrom anak tengah.

“Di pihak kaunselor, kami biasanya akan membuat sesi dengan anak terlebih dahulu untuk empat atau lima sesi dan kemudian akan buat dengan seluruh keluarga.

“Biasanya ayah tak mahu datang, sekiranya datang pun dia tak mahu sesi berkumpulan dan mahu sesi perseorangan.

“Ibu atau ayah, siapa yang layak mendekati anak? Sekiranya usia bawah 12 tahun, anak perempuan lebih elok didekati atau dinasihati oleh ayah, yang lelaki dengan ibu.

“Untuk usia di atas 12 tahun pula kena tengok keadaan. Ada masa mereka memerlukan jantina yang sama, ada masa sebaliknya.

“Sekiranya ibu bapa tidak dapat menyelesaikan masalah yang semakin rumit, barulah bawa berjumpa pakar psikiatri,” katanya.

Permainan adalah perkara yang baik untuk ibu bapa rapat dan menghabiskan masa dengan anak.

Menurut Chen, ibu bapa kena luangkan masa bermain, bersenam atau beriadah dengan anak.

“Buatlah apa saja program dengan anak contohnya cuci kereta bersama. Tak perlu susah-susah, fikirkan perkara yang mudah saja, yang penting dapat habiskan masa dengan anak, beraktiviti dengan anak. Ia sesuatu yang mudah, tetapi ramai yang tidak boleh buat,” katanya.

Dengan keadaan dunia sekarang yang sentiasa sibuk mengejar masa, ibu bapa bekerja, gangguan alam siber serta media sosial, ibu bapa semakin jauh dengan anak. Ibu bapa menyangka sudah cukup bersembang, bertanya khabar, berkongsi gambar dengan ahli keluarga dan anak di WhatsApp. Ia bukanlah gambaran dunia dan realiti sebenar.

Kembalilah ke dunia realiti dahulu. Ibu bapa berjoging dan bermain badminton dengan anak pada hujung minggu, berkelah di taman, sama-sama menonton televisyen dan duduk berbual sambil bermain dengan kucing. Tanpa gangguan gajet di tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 11:45 AM