SEORANG askar Afghanistan mengawal mayat seorang anggota polis yang terbunuh, semalam.

Kandahar: Seorang anggota polis yang belot dengan menyertai Taliban menembak mati 10 rakan setugasnya di selatan Afghanistan semalam selepas meracun makanan mangsa, kata pegawai.

Kejadian terbaru dalam siri yang dikenali sebagai serangan orang dalam itu berlaku di pusat pemeriksaan di daerah Chenartu di wilayah Uruzgan, kata ketua daerah, Faiz Mohmmad.

Katanya, pasukan keselamatan memburu anggota polis itu dan seorang anggota Taliban yang dipercayai bersama-sama menembak rakan setugasnya.

“Selepas menembak semua anggota polis itu, kedua-dua suspek mengambil senjata api mangsa sebelum membakar pusat pemeriksaan itu serta sebuah kereta polis,” katanya.

Ketika ini Taliban masih belum mengaku melancarkan serangan berkenaan.

Uruzgan terletak di sempadan wilayah Helmand dan Kandahar, kubu kuat Taliban di Afghanistan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 10:56 AM