VERSI lengan pendek 'Al Qassam'.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Meskipun ramai memberi interpretasi negatif kepada gagak hitam, berbeza buat empat beradik Zakawi, Zulhakim, Zubir dan Zulhilmi Zulkefli, yang selesa memilih 'imej burung hitam' sebagai jenama koleksi kemeja-T rekaan mereka, Smiley Crow.

Menurut Pengarah Pemasaran dan Jualan Smiley Crow, biarpun kedengaran seperti 'wujudnya elemen gelap' dengan imej burung itu, pada mereka peranan dipunyai burung itu mempunyai hikmah tersendiri.

Malah katanya, dia serta pe-ngasas lain berasa penggunaan jenama itu bersesuaian dengan setiap pilihan rekaan cuba diketengahkan menerusi grafik serta ungkapan cukup berani pada setiap koleksi dihasilkan.

"Sebenarnya kami lebih senang menerangkan pemilihan jenama Smiley Crow adalah bersandarkan kepada potongan surah Al-Maidah ayat 31. Ia berkaitan peristiwa Allah SWT mengutuskan gagak memberi panduan kepada Qabil cara mengebumikan saudaranya, Habil.

"Jadi peranan kami pula menerusi hikmah peristiwa berkenaan ialah kami seperti 'gagak' berfungsi sebagai penyampai nasihat dan mesej dalam bentuk grafik diterjemahkan menerusi pakaian.

"Jadi kalau diamati setiap penghasilan rekaan, setiap kemeja-T mengandungi mesej mengikut isu semasa umat Islam contohnya peperangan di Palestin dan Syria, sejarah perang, fahaman dan ideologi, teori konspirasi mahupun mengenai adiwira Islam serta baju negeri," katanya.

Selain kekuatan grafik bersama padanan mesej cukup 'lantang' tertera pada setiap kemeja-T, pemilihan material cukup teliti iaitu fabrik kapas berkualiti tinggi diimport dari Bangladesh serta India bersesuaian dengan iklim serta cuaca di Malaysia membuatkan ia terus menjadi pilihan peminat jenama tempatan.

Harga ditawarkan untuk lebih 20 rekaan dihasilkan bermula RM15 sehingga RM60 bergantung kepada material, warna serta cetakan pada kemeja T berkenaan. Bagi mereka ingin mendapatkan kemeja-T unik terbabit, boleh melayari laman facebook dan Instagram; SmileyCrow dan mengunjungi kedai V9 (Gerbang Malam), Jalan Dato Tahwil Azhar, Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 12:38 AM