ANTARA pendatang asing tanpa izin yang ditahan. FOTO ihsan Pasukan Polis Marin
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang menahan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam Ops Landai di Kawasan Hutan Pantai Pulau Hijau, Kota Tinggi, awal pagi ini.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua PATI terbabit ditahan kira-kira 2 pagi hasil serbuan di lokasi terbabit.

"Bertindak atas maklumat penyusupan keluar masuk PATI ke negara ini, maka serbuan dilakukan di kawasan hutan yang sering menjadi tumpuan golongan terbabit.

"Hasil serbuan itu, 30 PATI termasuk 21 lelaki dan sembilan perempuan ditahan selepas mengaku menunggu bot pancung untuk pulang ke Indonesia," katanya.

Katanya, semua tangkapan dibawa balik ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan lanjut.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migram (APTOSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 5:40 PM