URUSETIA kejohanan meninjau trek perlumbaan.

Jasin: Peserta yang menyertai Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan hujung bulan ini bukan saja perlu menempuh cabaran melalui pelbagai halangan trek malah akan ‘dihidangkan’ dengan pemandangan semulajadi terindah negeri ini.

Dengan trek sejauh 45 kilometer (km) peserta akan merentasi tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan serta akan melakukan kayuhan dengan berlatarbelakangkan landskap menarik Gunung Ledang.

Pengarah Teknikal Kejohanan Noor Azam Abd Aziz berkata, trek perlumbaan itu dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon A dan B dengan membabitkan laluan antara paling menarik sejak kejohanan ini diadakan.

Katanya, bagi Zon B, ia membabitkan laluan jalan raya sepanjang 7 km bermula dari tapak pelepasan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan hingga ke Kampung Sialang.

"Peserta dikehendaki melalui kawasan kampung sebelum memasuki ladang kelapa sawit dan mereka dikehendaki meneruskan kayuhan merentasi beberapa halangan sebelum membuat pendakian di Bukit Hong Seng Sam iaitu kawasan kaki Gunung Ledang. Kawasan itu menjanjikan pemandangan menarik.

“Peserta kemudian melalui trek teknikal masuk semula ke kawasan Kampung Relau dan meneruskan perjalanan sebelum menamatkan laluan Zon A di perkampungan survival (ikhtiar hidup) membabitkan perjalanan sejauh 22 km,” katanya.

Beliau bersama Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM) yang juga Pengerusi kejohanan MTB Abdul Ghafar Ismail, Pengarah Kejohanan Husain Jahit mengadakan simulasi perlumbaan bermula Jumaat ini.

Simulasi berkenaan diadakan bagi mengenalpasti laluan berbahaya dan membuat catatan masa perjalanan yang bakal dilalui peserta nanti.

Turut serta dalam simulasi itu ialah marshal kejohanan dan 10 anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin dan tiga anggota polis dari Balai Polis Asahan.

Noor Azam berkata, di perkampungan survival itu akan diadakan aktiviti demonstrasi untuk ikthiar hidup di hutan, masakan dan permainan sumpit.

Menurutnya, Zon A juga akan dijadikan sebagai lokasi untuk peserta membuat pilihan sama ada tidak mampu menamatkan kayuhan ke Zon B dengan satu laluan keluar disediakan.

Katanya, tempoh ‘cut-off’' bagi peserta ialah jam 11.30 pagi dan mereka yang tidak dapat menghabiskan kayuhan akan menamatkan penyertaan mereka di kawasan itu.

“Peserta akan diberi laluan untuk berkayuh sehingga ke Kompleks MSN Saujana di kawasan venue kejohanan ini,” katanya.

Beliau berkata, Zon B akan bermula di kawasan kolam tadahan air berhampiran Kompleks MSN Saujana yang menjanjikan pemandang paling menarik kerana tasik itu berlatar belakangkan kawasan pergunungan hijau yang jarang dapat dilihat di mana-mana lokasi.

Katanya, peserta kemudian dikehendaki meneruskan kayuhan dengan melalui ladang dan hutan sebelum masuk ke kebun petai dan cempedak.

“Laluan di Zon B turut membabitkan perjalanan di Laman Tiga Budaya iaitu penjuru antara tiga negeri, perkampungan Orang Asli dan Air Terjun Asahan,” katanya.

Beliau berkata, matlamat kejohanan ini diadakan antaranya untuk mempromosi kawasan Asahan sebagai lokasi yang boleh dijadikan sebagai pusat pelancongan sukan.

Katanya, banyak kawasan di Asahan mempunyai keindahan semulajadi yang mana pihak penganjur yakin akan menawan hati peserta.

“Peserta pasti tidak akan menyangka laluan bakal dilalui itu membuatkan mereka seperti berada di satu lokasi sangat berbeza pernah dilawati sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:03 AM