NIK Ali (dua dari kiri) diiringi Dr Wahid (kanan) merasmikan temasya SUKIPT di Dataran UTM, Skudai, semalam.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) pada 2018 diharap dapat diperluaskan ke rantau Asia Pasifik, selepas SUKIPT 2016 mengorak langkah buat julung kalinya disertai lapan kontinjen dari universiti luar negara iaitu Singapura, Brunei, Indonesia, Myanmar, Laos dan Thailand.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata, ia menjadi bukti SUKIPT yang diperkenalkan sejak 2012 mampu dikembangkan ke peringkat Asia Tenggara.

“Bagi SUKIPT 2018, saya harap temasya ini dapat diperluas ke rantau Asia Pasifik seperti Australia dan New Zealand.

“Dengan penyertaan negara serantau, SUKIPT juga boleh dijadikan sebagai mini Olimpik untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian perkampungan sukan dan temasya SUKIPT 2016 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Pada temasya itu, seramai 6,207 atlet dari 102 kontinjen dan 1,200 sukarelawan berkampung di UTM di sini, yang menjadi tuan rumah bagi SUKIPT 2016.

Temasya yang menawarkan 245 pingat emas, 245 perak dan 351 gangsa itu mempertaruhkan 25 acara sukan termasuk badminton, tenis, bowling, bola tampar, pencak silat, taekwondo, renang, lawan pedang, memanah, hoki, catur, olahraga dan ping pong.

Nik Ali berkata, SUKIPT mempunyai kelainan dengan temasya lain kerana membabitkan penyertaan 100 peratus mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam atau swasta di negara yang mengambil bahagian.

“Daripada kumpulan mahasiswa ini, mereka juga pernah mewakili negara masing-masing dalam pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA.

“Saya percaya jika lebih ramai atlet menyertai temasya ini yang sebilangan besar bertaraf dunia, sukan ini boleh menjana pendapatan di peringkat serantau dan juga antarabangsa,” katanya.

Beliau juga berharap universiti yang dipilih sebagai tuan rumah perlu melakukan persediaan lebih rapi terutama dalam menyediakan kemudahan logistik kepada peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 10:17 AM