ANTARA peserta baru yang bertanding pada Kejohanan Muay Thai di Terengganu.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Sebanyak lapan kejohanan muay thai akan dianjurkan di Terengganu bagi mencari bakat baru yang mampu diketengahkan seterusnya mewakili negeri dalam sukan lasak itu.

Pengurus Muay Thai Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Hasyim Ramli berkata, kekurangan atlet berbakat luar biasa mendorong pihaknya bersama Terengganu Muay Thai Gym Terengganu (TMT) merancang untuk menganjurkan kejohanan muay thai di setiap daerah tahun ini.

“Hasrat kami adalah untuk melahirkan atlet berbakat dan boleh diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Atlet sedia ada dan berbakat memang sudah ramai tapi mereka semakin berusia dan kami perlu bertindak awal mencari atlet baru bagi menggantikan mereka,” katanya semalam.

Hasyim berkata, pihaknya juga kekurangan atlet muay thai wanita berkualiti dan usaha melahirkannya sedang dijalankan.

“Pembabitan wanita dalam sukan ini masih rendah justeru usaha menarik minat mereka akan dijalankan bermula di peringkat sekolah.

“Kekurangan atlet wanita berkualiti memaksa pasukan negeri menggunakan khidmat dari negeri lain untuk mewakili negeri bagi menyertai kejohanan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berhasrat untuk tidak lagi menggunakan khidmat atlet wanita dari negeri lain bagi mewakili negeri pada SUKMA dan sebarang kejohanan yang dianjurkan di negeri ini atau di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:03 AM