PAWIKA.
Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Selalunya industri hiburan tempatan dibanjiri artis dari seberang seperti Singapura dan Indonesia. Sesekali ada juga artis dari Brunei tetapi jarang sekali kedengaran artis dari Thailand atau Filipina.

Faktor pemisah artis Thailand dan Filipina membina nama di Malaysia ialah bahasa, begitu juga sebaliknya.

Namun ia tidak menjadi hal buat artis kelahiran Bangkok, Pawika Thammakamee, 30, yang cuba mengintai peluang di sini.

Katanya, peluang pertama beraksi di pentas Istana Budaya (IB) untuk pementasan Teater Muzikal Bikers Kental pada 23 sehingga 31 Januari ini dilihat ruang terbaik untuk mencuba nasib.

“Sebelum ini saya pernah terfikir berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) untuk mencari peluang di sana. Kebetulan ibu dan dua adik saya menetap di sana. Di Thailand, peluang untuk pelakon teater berkembang sangat kecil.

“Pelakon teater, terutama genre muzikal jarang berpeluang mementaskan karya mereka dalam skala besar. Andai ada, ia hanya setahun sekali. Saya terpaksa bergantung hidup dengan menyanyi pada majlis tertentu.

“Tapi tidak sangka, tiba-tiba nama saya dipilih untuk beraksi di negara ini dan ia satu rahmat yang tidak pernah saya impikan,” katanya dengan gembira.

Lulusan Seni Lakon Teater dari Universiti Chulongkorn ini akui peluang beraksi untuk teater itu muncul selepas pelakon asal yang memegang watak Saiyya Sukhaphorn dalam filem Bikers Kental, sibuk dengan projek lain.

Nama Pawika dicadangkan rakannya, seorang pengarah filem yang kebetulan berkawan baik dengan pengarah filem itu, Helmi Yusof.

Katanya, mungkin pengalamannya selama tujuh tahun di bidang pementasan teater dan muzikal menyebabkan pengarah itu menyebut namanya untuk menjadi pengganti.

Tambah pula Pawika fasih berbahasa Inggeris dan mudah mesra dengan sesiapa yang ditemui.

“Saya tiada masalah untuk menari, menyanyi dan berlakon pada masa sama sebab sudah biasa melakukannya di negara sendiri.

“Bezanya, ini kali pertama saya akan menyanyikan lagu berbahasa Melayu berentak dangdut, Perawan atau Janda,” katanya ketawa.

Ditanya pendapatnya beraksi di pentas Malaysia berbanding Thailand, Pawika akui selain berbeza dari segi bahasa, pelakon Malaysia rata-rata sangat berbakat.

Malah dia memuji bakat dimiliki Zizan, Awie dan Nadia Brian yang disifatkan mempunyai aura hebat di pentas teater.

Katanya, lakonan mereka nampak bersahaja dan menarik untuk ditonton. Andai diberi peluang lagi, dia mahu beraksi bersama mereka dalam filem Bikers Kental 2 yang dijadualkan penggambarannya pertengahan tahun ini.

“Teater di sini juga ada gaya tersendiri dan sangat unik. Saya suka sebab ada elemen Bollywood dengan tarian yang ceria. Ia berbeza dengan negara saya yang lebih memberi tempat kepada elemen K-pop dan Hollywood.

“Saya banyak bertukar-tukar tip dan pendapat bersama pelakon lain. Jujurnya, saya tidak tahu langsung mengenai industri hiburan Malaysia hinggalah bertemu pelakon teater ini,” katanya.

Pun begitu, dia pernah menonton beberapa karya indie hasil karya anak Malaysia yang ditayangkan di negaranya.

Pendapatnya, industri hiburan Malaysia terutama filem mempunyai ruang luas jika anak muda terus diberi peluang mencanai idea mereka.

Sebagai contoh, Pawika akui filem karya golongan muda dari Thailand banyak berubah selepas ramai antara mereka mula mendapat pendedahan di luar negara.

Malah ramai pelabur berani melabur pada jumlah besar bagi menghasilkan sesuatu penerbitan kerana tahu hasilnya pasti mendapat perhatian.

“Genre filem di sana hampir sama saja dengan filem lain di sekitar Asia yakni seram, komedi dan drama. Namun cara mereka berkarya banyak berubah. Subjek yang diangkat juga lebih realiti dan kena dengan keadaan sosial.

“Mungkin sebab kematangan itu, banyak karya dari Thailand, baik filem atau iklan diterima semua golongan,” katanya.

Kepada peminat hiburan tempatan yang ingin mengenali lebih lanjut anak sulung daripada tiga adik beradik ini, boleh layari laman sosial Facebook carian nama pawika.thammakamee atau Instagram carian @pawikat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:03 AM