AKTIVITI regangan diwajibkan sebelum dayungan kayak bermula.
PANORAMA indah sepanjang kayuhan.
BERSORAK riang sebaik menamatkan ekspedisi.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin
metahad@hmetro.com.my


Berkayak merempuh ombak, bukan mudah namun seramai 26 ahli kelab Hasilian berjaya merentasi laluan yang sibuk dengan kapal dari Teluk Batik ke Pulau Pangkor dan kembali semula dalam program Jatidiri Ekspedisi Kayak Teluk Batik-Pulau Pangkor 2015 baru-baru ini.

Mereka membabitkan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) tidak mudah mengaku kalah sekalipun payah.

Pengarah Program, Mohd Faisol Ahmad berkata, antara objektif program itu ialah memupuk dan melahirkan nilai berpasukan yang cemerlang kepada peserta. Apatah lagi, ada kalangan peserta tidak pernah berkayak justeru ia memberi pengalaman baharu kepada mereka.

“Di sisi lain, program Jatidiri Ekspedisi Kayak Teluk Batik-Pulau Pangkor juga berjaya menguji tahap ketahanan serta kecerdasan fizikal dan mental semua peserta apabila berhadapan dengan sesuatu keadaan, terutama bebanan kerja,” katanya.

Peserta Mohd Asri Nekmat, menyifatkan program berkenaan memberi peluang berkenalan dengan ramai peserta lain.

“Kami bekerja di jabatan dan bangunan sama tetapi datang dari pelbagai unit menyebabkan jarang berjumpa dan bertegur sapa antara satu sama lain sewaktu bekerja.

“Selain penggunaan tenaga yang maksimum, kekuatan mental dan sokongan rakan penting bagi mengharungi sesi mendayung hampir empat jam sehari itu,” katanya.

Peserta ekspedisi, Nilawati Arshad yang juga ibu kepada tiga anak pula teruja apabila berada di Pulau Pangkor.

“Pulau ini sangat indah dan masih belum tercemar teruk biarpun banyak industri berasaskan hasil laut ada di sini. Kami singgah di Kota Belanda yang bersejarah dan dapat menambahkan ilmu sejarah ini secara sepintas lalu,” katanya.

Nilawati yang kali pertama berkayak di laut terbuka ini berterima kasih kepada jurupandu yang banyak membantunya mengendalikan kayak sepanjang ekspedisi.

Bagi Zainuddin Muhamed pula, aktiviti luar seperti ini mampu mengalihkan pemikiran berkaitan kerja dan rutin harian.

“Program santai seperti ini secara langsung mengurangkan tekanan mengadap bebanan kerja seharian. Saya mengharapkan hubungan baik yang terjalin sepanjang program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Sukan, Kelab Kebajikan & Sukan Hasil Dalam Negeri Kuala Lumpur, Nor Azam Mohamad berkata, dia sangat berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan peserta.

“Tidak mudah untuk meluluskan sesuatu program kerana ia membabitkan bajet dan penggunaan tenaga manusia yang ramai, tetapi dengan melihat kejayaan program yang lalu dan impak daripada aktiviti terbabit, pihak pengurusan tiada masalah merealisasikan Program Jatidiri Ekspedisi Kayak Teluk Batik-Pulau Pangkor 2015 ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:02 AM