JULIA.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Mula diperkenalkan dalam drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia, nama pelakon berdarah kacukan Melayu-Itali, Julia Marin mula mendapat perhatian di persada hiburan tanah air.

Selepas drama bersiri itu, Julia, 22, tidak menang tangan menyambut tawaran berlakon sehinggalah ke hari ini. Antara drama dijayakan pelakon jelita ini adalah Ella Fitra, Warna Cinta Impian dan Putera Makassar.

Meskipun menjadi buruan ramai pengarah dan penerbit, Julia berasakan banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Saya tidak kisah melakonkan watak kecil kerana ia sebahagian daripada latihan mengukuhkan skil lakonan. Apa yang penting, watak itu ada kelainan dan beri impak kepada penonton.

“Sebelum menerima tawaran, saya minta pengarah melakukan uji bakat terlebih dulu untuk melihat tahap kemampuan saya sebagai pelakon,” katanya.

Walaupun masih ‘hijau’, Julia menyifatkan dirinya bertuah kerana berpeluang menimba ilmu dengan ramai pengarah hebat termasuklah Ghaz Abu Bakar, Erma Fatima dan Jinggo.

“Saya dapat berlakon dengan mereka pun selepas melalui proses uji bakat. Dalam drama bersiri Rumi dan Jawi, saya pegang watak adik kepada Rumi yang dilakonkan Remy Ishak.

“Saya memang teringin bekerja dengan Ghaz dan teracapai juga menerusi drama ini. Remy turut membantu saya menjiwai babak Rumi menolak adiknya hingga jatuh dalam salah satu babak,” katanya.

Manakala, dalam drama bersiri Satu Cinta terbitan JS Pictures arahan Jinggo pula dia menjayakan watak pembantu.

“Bayangkan, saya sangat teruja sampai demam ketika menghadiri uji bakat yang dikendalikan Kak Sheila Rusly.

“Syukur, saya terpilih dan dapati berlakon di samping Azrel Ismail dan Dayana Roza,” katanya yang turut membintangi drama Sha & Shah yang kini hangat bersiaran di saluran Astro Ria.

Shukri bantu jiwai watak

Selepas drama Asam Pedas Untuk Dia, Julia digandingkan sekali lagi dengan pelakon popular Shukri Yahya dalam drama komedi romantik, Hantu Punya Bos arahan Feroz Kader untuk Slot Iris TV3.

Drama ini turut menampilkan pendatang baru, Intan Najuwa, selaku teraju utama.

“Dalam drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia, saya melakonkan watak Syafinas, kekasih kepada Ziyad lakonan Syukri.

“Manakala, menerusi drama Hantu Untuk Bos pula saya tampil sebagai Dila, pembantu peribadi kepada watak lakonan Shukri. Berikutan tidak tahan dengan sikap majikannya, Dila berhenti kerja,” katanya.

Ditanya pengalaman bekerja dengan Feroz pula, Julia berkata, dia banyak belajar dengan sutradara itu.

“Feroz , pengarah yang sangat teliti ketika bekerja. Bukan saja aspek lakonan, semua perkara dipantaunya termasuk solekan dan baju agar sesuai dengan babak.

“Sebelum pengambaran bermula, saya mengikuti kelas lakonan disediakan produksi,” katanya.

Drama bersiri 20 episod itu dibintangi Vicha Saywho, Serina Redzuawan, Aizat Hassan, Afiera Riana, Fahmy Reza dan Iszander Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:01 AM