Sarbini (memegang bendera) menunjukkan tanda bagus pada majlis pelancaran 12 perkhidmatan baru Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) hari ini. FOTO Asmah Rusman
Oleh Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan 12 perkhidmatan baru Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan pemberian diskaun tiket perjalanan sehingga 25 peratus sempena pengenalan perkhidmatan itu yang sudah bermula 18 Januari lalu.

Presiden KTMB Lt Kolonel (B) Datuk Sarbini Tijan berkata, perkhidmatan baru tren ETS terbahagi tiga kategori iaitu tujuh tren bagi perkhidmatan setiap hari, satu tren untuk hari Isnin hingga Khamis manakala empat tren lagi bagi perkidmatan hari Jumaat hingga Ahad.

Katanya, sempena pelancaran itu, pemberian diskaun tiket perjalanan diberikan sehingga 20 peratus bagi penumpang yang membuat perjalanan pada 25 hingga 31 Januari.

"Diskaun itu membabitkan perkhidmatan ETS Platinum dari Padang Besar ke Stesen Sentral Kuala Lumpur dan sebaliknya sebanyak 20 peratus manakala perkhidmatan ETS Gold enam laluan terpilih diberi diskaun sebanyak 10 peratus," katanya.

Katanya, KTMB turut memberikan diskaun sebanyak 25 peratus bagi tambang perjalanan dewasa untuk perkhidmatan tren ETS Platinum bernombor 9231 bermula 18 hingga 31 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 7:42 PM