SHAFIEN (tengah) bersama pegawai siasatan menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki. FOTO Roslin Mat Tahir
SHAFIEN (dua kiri) bersama pegawai siasatan menunjukkan peti besi yang dipecah oleh suspek. FOTO Roslin Mat Tahir
Oleh Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kes pecah pejabat seorang peguam dalam beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini minggu lalu.

Tiga lelaki warga tempatan yang berusia 29 hingga 33 tahun itu ditahan 14 Januari lalu dalam dua serbuan berbeza.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, selepas mendapat laporan daripada peguam yang mengadu pejabatnya di Seksyen 23 dekat sini dipecah masuk, pihaknya menjalankan operasi.

"Siasatan mendapati peti besi, beberapa dokumen penting serta beberapa perkakasan pejabat didapati hilang.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) polis berjaya menjejaki seterusnya menahan semua suspek," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan itu polis menemui semula peti besi, merampas beberapa peralatan pecah rumah dan sebuah kereta.

Shafien berkata, polis masih memburu seorang lagi suspek yang turut terbabit dalam jenayah berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 12:58 PM