RAKYAT Palestin bertengkar dengan askar Israel yang datang memusnahkan sebuah kediaman di Biet Ula.
Reuters

Baitulmaqdis: Israel semalam mengesahkan rancangannya merampas satu kawasan tanah Palestin di Tebing Barat untuk dijadikan milik negara walaupun langkah itu akan meningkatkan ketegangan dengan Barat dan sudahpun mengundang kecaman antarabangsa.

Dalam kenyataan menerusi e-mel kepada Reuters, COGAT, sebuah unit di kementerian pertahanan berkata, keputusan politik untuk menguasai tanah yang subur untuk pertanian itu sudah diambil dan ia kini dalam peringkat akhir untuk diisyitiharkan sebagai milik negara.

Langkah mengambil tanah seluas 154 hektar milik penduduk Palestin itu mula dilaporkan oleh Radio Tentera Israel.

Ia terletak di Lembah Jordan, berhampiran Jericho, tempat rejim Zionis itu membina banyak penempatan pertanian di atas tanah milik yang diharapkan rakyat Palestin menjadi sebahagian negara mereka.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon kelmarin mengecam rampasan tanah itu, yang terbesar di Tebing Barat sejak Ogos 2014.

Penduduk Palestin juga mengecam tindakan itu.

Tanah berkenaan sudahpun digunakan pendatang Yahudi di kawasan bawah penguasaan tentera dan rejim awam Israel untuk bercucuk tanam.

Amerika Syarikat, sekutu utama rejim Zionis itu juga menyuarakan bantahan keras terhadap langkah berkenaan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dijadual berucap di Forum Ekonomi Dunia di Davos Khamis ini tetapi tidak dapat dipastikan sama ada dia akan menyentuh isu itu atau diplomat asing akan membangkitkan mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 6:02 AM