HAZALLY (dua dari kiri) dan Dr Mohd Ismail (tiga dari kanan) bersama maskot dan piala SUKIPT edisi ketiga di UTM Skudai, semalam.
Oleh Redzuan Muharam
sukan@hmetro.com.my


Johor Bahru: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi jaminan untuk bertegas dalam soal keselamatan atlet, isu doping dan hal lain yang berkaitan sepanjang temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SUKIPT) edisi ketiga dari 25 Januari hingga 5 Februari depan.

Setiausaha Bahagian Sukan KPT merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKIPT Hazally Jali berkata, langkah itu bagi memastikan temasya itu tidak tercemar dengan isu sensitif.

Katanya, seperti biasa, semua atlet bertanding diwajibkan menjalani ujian air kencing bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada pengambilan bahan terlarang.

Menurut Hazally, surat turut dihantar kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) bagi memaklumkan pihaknya sedia mengikut peraturan ditetapkan persatuan sepanjang temasya berlangsung.

“Kami berhubung rapat dengan persatuan kerana menggunakan teknikal dan kepakarannya. Ia bermakna apa jua acara dipertandingkan hendaklah mengikut peraturan dari persatuan di bawah NSA dan ia penting bagi memastikan sebarang rekod baru diiktiraf dan tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya pada sidang media SUKIPT di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni UTM Profesor Dr Mohd Ismail Abdul Aziz.

Sementara itu, Hazally berkata, 90 peratus persiapan SUKIPT sudah dibuat setakat ini dan 8,621 atlet dari 117 kontinjen dalam dan luar negara yang bertanding akan tiba di penginapan mereka iaitu kampus UTM sehari sebelum dan pada hari bermulanya temasya.

Menurutnya, penganjur berharap segala perancangan berjalan lancar dan turut berterima kasih kepada UTM selaku tuan rumah kerana sudi menyediakan pengangkutan untuk atlet berulang alik dari perkampungan sukan ke tapak acara selain bantuan kawalan oleh anggota keselamatan.

“Temasya kali ini cukup istimewa kerana memberi peluang kepada 20 atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) bertanding dan menyumbang pingat untuk kontinjen masing-masing.

“Selain itu, SUKIPT turut menerima penyertaan atlet dari enam negara ASEAN iaitu Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Myanmar dan Laos yang akan bertanding dalam tujuh acara,” katanya.

SUKIPT edisi ketiga mempertandingkan 25 acara dan menawarkan 245 pingat emas, 245 perak serta 351 gangsa.

Majlis perasmian akan disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh di Kompleks Sukan UTM Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:50 AM