Kuala Lumpur: Aliy Property Advisors Sdn Bhd menyokong sepenuhnya pelaksanaan Sistem Penilaian Kualiti Bagi Projek Pembinaan (Qlassic) kerana dilihat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu pemaju dan pembeli.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ali Abdul Majis berkata, Qlassic adalah sesuatu yang positif sedang berlaku dalam industri pembinaan.

Beliau berkata, Qlassic akan membuat pembeli berasa lebih terjamin dan kredibiliti pemaju juga akan meningkat kerana orang ramai akan meyakini produk yang dikeluarkan oleh sesuatu organisasi menggunakan piawaian Qlassic.

“Apa yang saya lihat buat masa ini keberkesanannya berada pada tahap awal kerana masih ramai pembeli tidak tahu mengenai Qlassic dan jumlah pembabitan pemaju untuk mengaplikasikan Qlassic masih kecil. Bagaimanapun, ia sedang menunjukkan kesan positif kepada industri pembinaan dan hartanah.

“Jika kita melihat dalam bidang pengajian tinggi sekalipun ada badan seperti MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) untuk memastikan ia berada di tahap yang terbaik. Malah, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)kini sedang melaksanakan kempen kesedaran buat pembeli dan sebelum ini, 237 projek pemaju terbabit dalam perlaksanaan Qlassic tahun ini dan ia menujukkan peningkatan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Qlassic akan menjadi medium pengukur standard untuk industri tetapi ia akan mengambil masa bergantung kepada kesedaran masyarakat mengenai pentingnya sistem itu.

“Namun, ia pasti akan memberi sedikit kesan kenaikan pada harga pasaran hartanah kerana untuk pemaju memastikan mereka mengikut piawaian Qlassic ia akan menyebabkan kos pembinaan meningkat sedikit yang sedia maklum akan ditanggung pembeli.

“Bagaimanapun, saya berpendapat ia akan memberi lebih kesan pada pembangunan baru berbanding pasaran sekunder hartanah dalam jangka masa lima hingga 10 tahun apabila ia dilaksanakan oleh semua pemaju dan kontraktor di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:19 AM