SEMINAR GST untuk industri pengiklanan yang diadakan, semalam.

Kuala Lumpur: Persatuan Pengiklanan Malaysia (MAA) menjangkakan industri pengiklanan negara berkembang sederhana tahun depan berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Setakat ini, industri pengiklanan negara mencatatkan sekitar RM16.8 bilion meningkat lima peratus berbanding tahun lalu yang mana tahun depan diunjurkan pada peratusan sama atau meningkat sedikit.

Presidennya, Margerat Au Yong berkata, pemain industri ketika ini masih di peringkat memahami pelaksanaan GST kepada operasi perniagaan mereka terutama membabitkan aliran tunai dan ini akan memberi kesan kepada perkembangan industri.

Beliau berkata, persatuannya bersama pemilik syarikat media dan agensi kini dalam usaha bekerjasama bagi memastikan semua pihak dapat memahami pelaksanaan cukai berkenaan.

“Di peringkat awal selepas pelaksanaan GST, pelanggan mungkin akan bersikap berhati-hati untuk membuat pelaburan dalam aktiviti mempromosi dan pengiklanan sekali gus ia memerlukan masa untuk operasi perniagaan berjalan seperti biasa.

“Pelaksanaan GST akan memberi kesan secara keseluruhan penjualan produk dan memerlukan kuasa pembelian yang membolehkan pelanggan membuat pelaburan dalam industri pengiklanan. Kami berharap kuasa pembelian akan terus meningkat dengan pelaksanaan cukai berkenaan,” katanya selepas menghadiri seminar GST untuk industri pengiklanan di sini, semalam.

Seminar berkenaan dianjurkan oleh MAA dengan kerjasama 4As Malaysia, Persatuan Pengkhususan Media dan Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:18 AM