MOHD Suhaimi (duduk depan, kanan) bersama sebahagian pelajar tahun akhir Jabatan Seni Halus FSSR UiTM Shah Alam di Pameran ‘WYDD’.
Teks dan gambar Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Seramai 72 pelajar tahun akhir Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam mempamerkan hasil seni masing-masing dalam Pameran ‘WYDD’ yang berlangsung sehingga 25 Januari ini.

Pameran bukan hanya mempamer karya pelajar untuk mendapat markah bagi semester enam, malah bertujuan menarik pengunjung dan menampilkan bakat pelajar melalui karya dihasilkan.

Karya dihasilkan menggunakan satu tema sama iaitu ‘luas’ yang diambil daripada nama pameran itu sendiri ‘WYDD’ kedengaran seakan-akan ‘wide’ dalam bahasa Inggeris yang bermaksud luas.

Hampir 400 karya dipamerkan dan semuanya dihasilkan daripada pelbagai medium mengikut jurusan masing-masing iaitu lukisan, arca, arca seramik dan percetakan.

Koordinator Program Jabatan Seni Halus FSSR UiTM Shah Alam Mohd Suhaimi Tohid berkata, pelajar diberi masa dari awal hingga akhir semester bagi memastikan projek tahun akhir itu disiapkan sepenuhnya.

“Pelajar bermula dengan membentangkan idea, membuat lakaran dan melakukan karya cubaan, seterusnya menghasilkan karya sebenar yang semuanya mengambil masa satu semester atau kira-kira 16 minggu.

“Kita beri kebebasan kepada pelajar membuat tema supaya mereka dapat meneroka diri sendiri dan menghasilkan idea mengikut identiti masing-masing,” katanya.

Kebanyakan pelajar menggunakan medium akrilik di atas kanvas kerana ia medium konvensional, namun ada karya dihasil menggunakan campuran media seperti benang dan akrilik di atas kanvas.

Karya seni percetakan juga tidak tertumpu kepada penghasilan cetakan mono, malah menggunakan pelbagai teknik seperti percetakan ‘silk-screen’ atau saring sutera.

Bagi pelajar jurusan arca, mereka banyak mengetengahkan bahan industri seperti kayu dan besi sebagai medium manakala jurusan arca seramik memfokuskan kepada seramik sebagai medium.

Karya juga dibuka untuk jualan dan pameran dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:01 AM