MUHAMMAD Syahmi (lima dari kanan) bersama peserta Pertandingan Seni Lukis PETRONAS 2015.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Hobinya yang suka menconteng di dinding rumah kayu Melayu tradisional sewaktu zaman kanak-kanak membawa kejayaan yang tidak diduga kepada pelajar seni halus ini apabila menggondol Anugerah Utama Pertandingan Seni Lukis PETRONAS 2015 anjuran Galeri PETRONAS.

Muhammad Syahmi Jamaluddin, 21, menerusi karya bertajuk ‘Future in Survive’ mempamerkan bakat dengan lukisan akrilik di atas kayu menunjukkan imej Menara Berkembar PETRONAS diletakkan di sebelah sebuah stesen janakuasa dan potret budak kecil melambangkan harapan seorang kanak-kanak untuk masa depan yang lebih baik.

Syahmi antara empat pemenang Anugerah Potensi Menyerlah iaitu kategori yang menggalakkan pelajar menyertai pertandingan seni lukis untuk meluaskan pengetahuan, menimba pengalaman, mengembangkan kreativiti dan meningkatkan bakat sebagai pelukis.

“Budak kecil dalam lukisan ini adalah saya,” kata Syahmi ketika mengenang kembali zamannya membesar di kampung kelahirannya di Johor.

“Saya masih ingat selalu melukis di dinding rumah iaitu rumah kayu tradisional. Cinta saya terhadap seni lukis tak pernah terpadam dan saya ingin menghidupkan ingatan ini dalam hasil karya,” katanya yang membawa pulang TV Plasma 60 inci dan kamera digital.

Pertandingan bertemakan ‘Tenaga Sekarang & Masa Depan’ menonjolkan kepentingan tenaga terhadap manusia sambil mencerminkan usaha PETRONAS meluaskan sempadan inovasi dengan melestarikan bekalan tenaga untuk masa depan.

Sebanyak 12 penyertaan daripada pelukis amatur dan berpengalaman dipilih daripada 437 yang diterima bagi merebut anugerah dalam pertandingan tahun ini, termasuk kategori Seni Lukis Teknikal Terbaik, Interpretasi Tema Terbaik dan Penyertaan Yang Mendapat Undian Tertinggi.

Nur Muhammad Amin Hashim Amir, 22, dari Universiti Teknologi MARA Perak (UiTM) yang memenangi Anugerah Bakat Harapan dan Anugerah Potensi Menyerlah berkata, memasuki pertandingan seni lukis bukan untuk memenangi hadiah semata-mata, tetapi menghargai nilai yang sudah dicapainya dalam hidup.

“Pertandingan ini batu loncatan kepada saya menempa kejayaan dalam kerjaya sebagai pelukis,” kata–nya.

Lukisan yang memenangi anugerah bagi kategori akrilik, pensel dan media campuran dinilai oleh panel pelukis profesional tempatan berdasarkan kecemerlangan seni dan keaslian daya cipta dalam mencerminkan tema.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:01 AM