PERALATAN polis yang dijual di kedai terbabit. FOTO ihsan Polis
Oleh Asrizal Aris
am@hmetro.com.my


Kampar: Lelaki yang juga pemilik kedai pakaian seragam ditahan polis selepas didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan permit untuk membekalkan kelengkapan seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Taman Kampar Siswa, di sini.

Dalam serbuan kira-kira 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 41 tahun berasal dari Gerik, Perak, itu ditahan di premis yang disewanya selepas didapati menjalankan perniagaan menjual peralatan polis secara tidak sah sejak kira-kira setahun lalu

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan dan kelengkapan pakaian seragam PDRM yang dianggarkan berjumlah RM2,500.

"Suspek dipercayai menjalankan perniagaan sejak setahun lalu dengan menjual peralatan seragam lain seperti baju sekolah, pandu puteri dan pengakap.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 8:14 PM