PENDUDUK Kampung Asahan mendengar taklimat mengenai penganjuran kejohanan.

Jasin: Penganjuran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 menggembirakan penduduk Kampung Asahan kerana bakal mempromosi kawasan itu ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Asahan Abdul Ghani Abdullah berkata, sebagai wakil penduduk, beliau amat mengalu-alukan kejohanan itu kerana bakal memberi banyak kesan positif kepada penduduk.

Katanya, sebelum ini jarang acara besar seperti itu diadakan dan jika ada, cuma membabitkan perlumbaan basikal di peringkat kebangsaan.

“Apabila dimaklumkan perlumbaan ini bakal disertai peserta pelbagai negara, kami amat berbangga kerana Asahan bakal dikenali ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Abdul Ghani berkata, penduduk terutama pengusaha inap desa (homestay) sangat gembira kerana belum lagi acara bermula tempat penginapan mereka sudah habis ditempah.

Malah, katanya kehadiran hampir 1,500 peserta di Asahan akan membantu meningkatkan ekonomi peniaga runcit dan makanan.

“Sudah tentu kehadiran ramai peserta akan memeriahkan lagi penganjuran kejohanan ini,” katanya.

Menurut Ghani, penganjuran sukan lasak ini mampu membuka mata semua orang untuk datang ke Asahan bagi melihat sendiri kawasan hijau di tempat mereka.

“Kawasan ini juga mempunyai perkampungan Orang Asli dan pengunjung boleh melihat kehidupan mereka dengan lebih dekat lagi sambil berkelah di kawasan Air Terjun Asahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:15 AM