Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perkahwinan hampir empat tahun antara pelakon Fasha Sandha dan suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai berakhir hari ini apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.

Jejai, 40, melafazkan cerai itu di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab ketika prosiding kes berkenaan disebut di dalam kamar.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 32, memfailkan permohonan cerai pada Isnin lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Sejurus selepas selesai prosiding itu, Jejai yang ditemani adik iparnya dilihat menangis meninggalkan mahkamah.

Fasha dan Jejai bernikah pada 27 April 2012 dan dikurniakan dua orang anak, Putra Rayfal, tiga tahun dan Putri Raysha Jemaima, setahun.

Sementara itu, Fasha berkata, perceraian itu adalah jalan yang terbaik untuk kedua-dua keluarga.

"Saya sudah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan ini. Saya reda dan akan meneruskan kehidupan bersama dua anak saya," katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada wartawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 3:43 PM
Fasha ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mior Azlan