LOU memukau penonton dengan vokalnya yang unik.
ROBERT.
JASON.
MASIH berbisa dan mengagumkan di pentas.
INSTRUMEN saksofon, trombon dan trompet menjadikan persembahan lebih gah.
CHICAGO kembali mengadakan konsert di Malaysia selepas kali terakhir berkunjung pada 2011.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Biar berganti era, muzik lama masih menjadi sanjungan. Impak penyanyi dan pemuzik lama memang tiada tandingan dan sentiasa dikenang sepanjang zaman.

Itulah impak daripada band rock Amerika Syarikat, Chicago terus menjadi sebutan hingga hari ini sejak ditubuhkan pada 1967. Malah, rata-rata anggotanya yang kini berusia 60 hingga 70 tahun masih aktif mengadakan persembahan di seluruh dunia.

Kuala Lumpur turut menjadi lokasi konsert jelajah mereka yang berlangsung di Mega Star Arena, Jalan Kuchai Lama, malam kelmarin.

Kali terakhir band dianggotai Robert Lamm, 71, (penyanyi, gitar); Lee Loughnane, 69 (trompet); James Pankow, 68 (trombon); Walter Parazaider, 70 (saksofon); Jason Scheff, 53 (bass); Tris Imboden, 64 (dram); Keith Howland, 51 (gitar); Lou Pardini, 64 (keyboard) dan Walfredo Reyes, Jr, 60 (perkusi) mengadakan konsert di negara ini ialah pada 2011.

Apa yang pasti, sembilan anggotanya itu jelas ada ‘magnet’ tersendiri. Entah apa magis digunakan Chicago kerana ternyata pentas menjadi hidup setiap kali ditakluk mereka.

Sukar untuk menggugat tumpuan kerana ada saja keletah mereka di pentas yang cukup mengikat perhatian penonton.

Faktor usia juga bukan penghalang untuk mereka menyalurkan tenaga ketika memainkan instrumen masing-masing.

Barangkali itulah yang menyebabkan lebih 2,500 penonton yang hadir di konsert Chicago Live In Malaysia, malam kelmarin tidak terasa masa berlalu begitu pantas walaupun durasi konsert lebih dua jam.

Berbanding konsert artis muda yang lebih mendapat permintaan ramai sekarang, Chicago membuktikan pemuzik lama ada bisanya sendiri. Jelas terpancar keikhlasan dan kejujuran mereka dalam memainkan muzik.

Dalam kebanyakan konsert, biasanya anggota band akan khusyuk memfokuskan kepada permainan masing-masing untuk mendapat bunyi terbaik. Tapi, Chicago hanya perlu bersahaja dan santai, namun masih tidak tersasar dari segi melodi.

Daripada keyboard, trompet, saksofon, dram, gitar, dan trombon, bunyinya bersatu dengan indah sehingga tidak sedar terdengar sebarang kecacatan pun. Tiada ragu-ragu di wajah mereka, apatah lagi pentas konsert sudah menjadi rumah kedua mereka.

Robert misalnya tidak begitu memberikan tenaga pada peringkat awal nyanyiannya. Seiring kehangatan semakin terasa, barulah nampak dirinya mendapat suntikan semangat untuk memberikan persembahan secara ‘all-out’.

Jason bagaimanapun memecah keheningan dengan kekuatan vokalnya yang bernada tinggi. Sambil leka memetik gitarnya, dia juga sentiasa mengiringi nyanyian penyanyi lain dengan nyanyian suara kedua yang begitu baik.

Biarpun sedikit tersorok di belakang, Lou yang turut bermain keyboard pula mendapat perhatian sebaik gilirannya menyumbangkan suara. Teknik dan keunikan vokalnya memang mengagumkan meskipun tumpuannya lebih kepada bermain instrumen terbabit.

Tatkala mereka bersatu dan menyanyi bersama, terserlah kekuatan sebenar pada harmoni gabungan suara masing-masing. Ketika itulah baru benar-benar terasa bulu roma meremang kerana ia sangat dinamik.

Apa yang menarik, konsert Chicago bukan saja dihadiri penonton berusia, tetapi juga dalam kalangan generasi muda. Ia membuktikan penghibur yang memiliki nilai muzikal bermutu tidak mengenal usia peminat.

“Seronoknya rasa dapat kembali semula selepas kali terakhir berkunjung ke sini beberapa tahun lalu. Kami cuma mahu anda semua berseronok,” kata Jason.

Keterujaan penonton paling terserlah sewaktu band itu mendendangkan lagu hit mereka seperti Hard To Say I’m Sorry dan You’re The Inspiration. Turut dinyanyikan adalah Leave, Alive Again, Wake Up Sunshine, Now, Call On Me, Searching/Mongo dan Will You Still Love Me.

Tidak ketinggalan lagu Rainy Day, Look Away, Ballet, Habit, Beginnings, I’m A Man, Street Player, Just You And Me, Getaway, Saturday dan Feelin’ Stronger.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 8:33 AM