TERTUDUH di Mahkamah Sesyen. FOTO Syahirah Abdullah
Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Bekas konstabel polis dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM20,000 di Mahkamah Sesyen, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan masing-masing bernilai RM1,500 dan RM 1,000.

Tertuduh, Mohd Kamarul Ikhsan Kamaruzaman, 28, turut berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Asmadi Hussin selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta suapan RM1,500 melalui khidmat pesanan ringkas daripada Zaimas Mustaffa sebagai dorongan untuk buang kes dan menarik balik laporan polis terhadap anaknya, Nurmas Fatihah Mohd Radzali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Haji Ismail, Bukit Guntong, Binjai Rendah, Marang, 5 petang pada 8 Januari 2014

Tertuduh turut didakwa menerima suapan wang tunai RM1,000 daripada Zaimas sebagai dorongan untuk buang kes dan tarik balik laporan polis yang dibuat terhadap anaknya, Numas, 7.25 malam pada 9 Januari 2014 di alamat sama.

Bagi setiap kesalahan itu, Asmadi menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 3:19 PM