ANGGOTA polis Yaman mengusung mayat seorang rakan mereka yang terbunuh dalam serangan itu.
Agensi

Sanaa: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan 15 yang lain cedera dalam serangan pakatan yang diketuai Arab Saudi ke atas bangunan ibu pejabat polis Yaman di sini, semalam.

Pegawai yang setia kepada pemberontak Houthi berkata, lebih 30 orang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan di tengah Sanaa itu.

Sehingga malam tadi, nasib mereka yang terperangkap itu tidak diketahui.

Kenderaan polis berada di luar bangunan itu musnah sementara rumah di kawasan sekitarnya rosak.

Menurut pegawai berkenaan, mereka yang terbunuh dan cedera adalah polis dan juga pemberontak Houthi.

Anggota Houthi dan tentera yang bersekutu dengannya mengepung kawasan berkenaan apabila jentera tiba untuk membantu mencari mayat dan mangsa yang tertimbus.

Bangunan berkenaan digunakan oleh polis yang setia kepada Houthi dan anggota kumpulan berkenaan untuk berkumpul sebelum mereka dikerah ke medan tempur.

Serangan itu dilancarkan awal pagi semalam. Wartawan dilarang mendekati kawasan itu, kata pegawai yang enggan namanya disiarkan.

Serangan udara yang diketuai Arab Saudi terhadap Houthi dan sekutu mereka mula dilancarkan 30 Mac lalu bagi membantu kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa.

Sementara itu, seorang wartawan Kenya yang membuat liputan mengenai peperangan di Sanaa terbunuh dalam satu serangan lain.

Almigdad Mohammed Ali terbunuh kelmarin di luar Sanaa.

Dia juga menyumbang berita untuk media Barat, termasuk Voice of America dan akhbar Britain, Daily Telegraph.

Peperangan di Yaman sejak Mac lalu meragut lebih 5,800 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 9:22 AM