BARISAN protege Mentor Milenia memiliki kelebihan tersendiri.
BLACK, Akim dan Hazama bertindak selaku mentor dan juri.
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Minggu kedua pertandingan Mentor Milenia menyaksikan tiga bakal protege Hazama menentang tiga bakal anak didik Akim bagi merebut peluang melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Rezeki berpihak kepada Nurul Amira Mat Nasir atau Mya dan Muhammad Fareez Hazwan atau Fareez yang menyampaikan lagu Like I’m Gonna Lose You dan Aku Mahu apabila terpilih menjadi protege Hazama.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan seorang lagi peserta, Iqbal Jaafar atau Ebal yang mendendangkan lagu Terima Kasih Cinta.

Menurut Hazama, dia menilai bakal protegenya secara keseluruhan dan tidak hanya melihat pencapaian mereka pada konsert berkenaan.

“Penilaian dibuat dari awal. Semua bakal protege saya diberi kesempatan merakamkan suara dan saya dapat lihat bakat mereka dari situ.

“Mya dan Fareez punya kekuatan sendiri dan berpotensi besar. Saya yakin, mereka akan menonjol dan beri saingan sengit kepada protege lain,” katanya.

Tambah Hazama lagi, sebagai mentor dia bertanggungjawab menggilap bakat dua anak didiknya itu.

“Saya akan beri lagu yang sesuai dengan kehendak penonton. Tugas saya sekarang adalah membantu Mya dan Fareez menonjolkan kelebihan mereka.

“Tidak dinafikan persembahan mereka masih ada kekurangan, tetapi ia boleh diperbaiki,” katanya.

Akim pula memilih Muhammad Afeeq Farhan Zulkifli atau Han yang menyampaikan lagu Darah Muda dan Nur Saheeba Raja Iftikhar Ahmed Khan atau Ebba (Love Me Like You Do) sebagai protegenya.

Seorang lagi peserta, Yusmeerunafishah Yusoff atau Meen yang menyampaikan lagu Jawapan Kasih tidak berjaya mara sebagai protege.

Menurut Akim, dia yakin vokal unik yang dimiliki dua protege pilihannya mampu menjadi daya penarik seterusnya menyajikan sesuatu yang baru buat peminat muzik.

“Han dan Ebba ada vokal unik yang belum ada dalam kalangan penyanyi sedia ada.

“Pada persembahan malam ini juga, saya dapat lihat kedua-dua mereka berjaya menyampaikan lagu yang diberikan dengan baik,” katanya.

Kata Akim lagi, dia memilih lagu yang sesuai buat protegenya berdasarkan kelebihan serta kemampuan masing-masing.

“Mereka perlu sentiasa bersedia. Lagu yang saya pilih bersesuaian dengan kemampuan mereka.

“Han misalnya lebih kepada pop manakala Ebba pula pandai bermain dengan teknik vokal,” katanya.

Selain persembahan bakal protege, Hazama dan Akim turut menghiburkan penonton dengan menyampaikan lagu medley Idola dan Mana Mungkin.

Satu lagi kejutan adalah ketiadaan penaja, Datuk Seri Vida yang khabarnya ‘merajuk’ dengan program itu. Pengasas produk itu berharap format program itu ditukar.

“Saya memang merajuk dan tidak main-main. Saya masih berharap format program ini ditukar daripada dua kepada tiga protege diambil oleh setiap mentor.

“Bagi saya, satu kerugian besar buat program ini apabila bakal protege yang berbakat disingkirkan kerana terpaksa mengikut format ditetapkan,” katanya.

Mentor Milenia yang bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di TV3 menampilkan empat mentor iaitu Black, Azlan & The Typewriter, Hazama dan Akim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 9:09 AM