NOGEH (tiga dari kanan) menanam nanas MD2 di ladang dan pusat pembungkusan JTP Trading Sdn Bhd di Ulu Tiram.
SEBAHAGIAN delegasi dari Sarawak bergambar di Pusat Teknologi Tanaman Nanas di Alor Bukit, Pekan Nanas.
PEKERJA JTP Trading Sdn Bhd mengasingkan benih nanas.
SAHDAN memberi penerangan mengenai penanaman nanas.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Misi menggandakan hasil nanas jenis MD2 mendorong sekumpulan usahawan dari Mas Gading, Sarawak, datang ke Johor bagi mempelajari selok-belok tanaman itu selama tiga hari.

Mereka dibawa melawat Pusat Teknologi Tanaman Nanas, Pusat Pemprosesan dan Pengumpulan buah serta benih di Alor Bukit, Pekan Nanas.

Selain itu, mereka juga melawat ladang dan pusat pembungkusan nanas MD2 milik JTP Trading Sdn Bhd, anak syarikat Kulim (Malaysia) Bhd serta lawatan ke premis usahawan industri asas tani (IAT) di sekitar Johor.

Seramai 20 usahawan termasuk agensi kerajaan Sarawak turut turun ke ladang bagi melhat sendiri penanaman nanas MD2.

Misi Ahli Parlimen Mas Gading yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Nogeh Gumbek membawa rombongan berkenaan bakal menampung keperluan industri nanas negara.

Nogeh berkata, MOA merancang memperluaskan kira-kira 8,500 hektar tanaman nanas jenis MD2 di seluruh negara bagi menampung keperluaran pasaran buah segar termasuk ke China.

Beliau berkata, langkah memperluaskan tanaman nanas dilaksanakan menerusi pelan perancangan lima tahun dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) membabitkan peruntukkan pembangunan industri bernilai RM102.6 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, fokus kini diberikan kepada pembangunan industri itu di Sarawak membabitkan peruntukan RM25 juta di tanah seluas 3,500 hektar.

“Antara lokasi tumpuan bagi tanaman nanas MD2 ialah kawasan dari Kuching ke Miri.

“Bagaimanapun, usaha kini sedang dilakukan untuk mendapatkan benih yang terhad termasuk mengimport dari negara pengeluar iaitu Filipina,” katanya pada sidang media di Wisma Nanas, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Johor Bahru, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha MOA Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Timbalan Ketua Setiausaha MOA Datuk Azini Mohd Shahid, Pengerusi LPNM Datuk Samsolbari Jamali, Ketua Pengarah LPNM Sahdan Salim dan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Datu Lai Kui Fong.

Sementara itu, Sahdan berkata, hala tuju industri nanas di bawah RMK-11 adalah untuk meningkatkan pengeluaran dan produktiviti tanaman itu.

Beliau berkata, ia merangkumi pengurusan tanaman yang cekap dan efesien dengan penggunaan teknologi jimat tenaga.

“Aplikasi teknologi bagi pendekatan yang tinggi serta bahan tanaman sah kualiti dan rintang penyakit serta penerokaan varieti nanas bernilai tinggi seperti MD2 yang juga nanas hibrid mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

“Nanas MD2 diterima baik disebabkan profil nutrisinya, termasuk kaya dengan vitamin C, selain rasa kemanisan semula jadi dan jangka hayat simpanan lebih lama yang menjadi elemen penting untuk pasaran eksport,” katanya.

Sahdan berkata, strategi pelaksanaan projek LPNM adalah mengorganisasikan sektor pengusaha kecil nanas melalui pendekatan kelompok untuk mencapai tahap kecekapan ekonomi dan jaminan pulangan yang baik.

“Pemilik tanah berskala kecil digalak menggabung­kan tanah mereka melalui gerakan koperasi supaya mencapai ekonomi bidangan dan menjamin pendapatan lebih baik dalam jangka panjang.

“Selain itu, membangunkan kawasan baru melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan pembabitan pihak swasta untuk membangunkan ladang berskala besar ke arah peng­komersialan yang lebih meluas.

“Ini termasuk membentuk rantaian bekalan khusus membabitkan syarikat induk atau koperasi bagi memastikan kemampuan projek dan sistem pasaran lebih baik,” katanya.

Katanya, penumpuan akan diberikan kepada galakan pembabitan Agropreneur Muda di setiap rantaian bekalan bagi memastikan pengurusan yang cekap dan efisien.

“Mentransformasikan pengurusan ladang kepada pertanian moden, komersial, dinamik dan berdaya saing melalui penggunaan atomasi dan teknologi jimat tenaga terkini.

“Memastikan akses kepada latihan kemahiran, meningkatkan produktiviti dengan menggalakkan penggunaan teknologi moden, meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya.

Menurut Sahdan, galakan akan diberikan kepada pengusaha kecil nanas mewujudkan rangkaian perniagaan lebih luas.

“Ia termasuk penjualan benih, penjualan sisa ladang dan mentransformasi sisa ladang menjadi produk yang mempunyai nilai komersial.,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:28 AM