PEMAIN SMAT Loaders Senior bergambar bersama trofi dimenangi.

Kota Tinggi: Perjumpaan semula Sekolah Menengah Kebangsaan Air Tawar, Kota Tinggi (SMAT) baru-baru ini, berjaya menarik minat 150 bekas pelajar yang pernah terbabit dalam sukan ragbi dari tempoh 1994-2013.

Bekas pemain Kesatuan Ragbi SMAT itu dibahagikan kepada lima pasukan membabitkan SMAT Loaders Senior, SMAT Loaders Junior, Lion Senior, Lion Junior dan SMAT Smut dalam permainan 15 sebelah dengan tempoh 45 minit setiap perlawanan.

Pengerusi Alumni Kesatuan Ragbi SMAT Mohd Redzuan Abd Bakir berkata, mereka pada mulanya hanya mahu mengadakan perjumpaan semula seperti orang lain.

“Tapi selepas ramai pihak menyuarakan perasaan rindu untuk beraksi di padang sekolah, mendorong kepada idea ini.

“Apatah lagi selepas lebih 11 tahun tidak beraksi, kami mahukan legasi Kesatuan Ragbi SMAT dikenang kembali.

“Melihatkan terlalu banyak peringkat umur menunjukkan minat, saya mencari wakil setiap generasi pemain untuk mengumpulkan mereka semula.

“Jika berpeluang kami mahu tubuhkan Kelab Ragbi Kota Tinggi kerana sebahagian daripada bekas pelajar masih aktif bermain dengan kelab di Johor, antaranya Kelab Ragbi Beringin Rendang dan Blackhawks.

“Malah ada antara kami yang pernah mewakili Malaysia,” katanya.

Di akhir perlawanan, SMAT Loaders Senior muncul juara membawa pulang piala pusingan. Hadiah disampaikan Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor Norazam Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:10 AM