WAKIL Sarawak Hidro bersama pelajar tingkatan satu SMK Bakun.

Lebih 300 pelajar tingkatan satu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun, Sarawak menerima sumbangan beg sekolah daripada Sarawak Hidro Sdn Bhd (Sarawak Hidro) pada satu program baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pe­ngarah Urusan Sarawak Hidro, Ir Zulkifle Osman kepada Pengetua SMK Bakun, Roger Peter.

Program itu yang diadakan sempena penutup minggu orientasi sekolah, adalah sebahagian projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada penduduk sekitar Bakun.

Zulkifle berkata, pihaknya bukan setakat fokus kepada pencapaian syarikat dan keuntungan, tetapi turut mengambil kira sumbangan yang boleh diberikan untuk pembangunan lestari penduduk setempat.

“Saya percaya dengan wujudnya program seperti ini, ia mampu mengukuhkan talian persaudaraan antara kami dengan penduduk setempat, terutamanya generasi muda,” katanya.

Turut hadir pada majlis penyampaian sumbangan itu adalah Pengurus Besar Sarawak Hidro (Operasi dan Senggaraan), Anuar Abu Bakar; Pengurus Besar Sarawak Hidro (Khidmat Korporat) Faisal Shahbudin, guru, pelajar dan wakil dari Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

Sementara itu Roger berkata, pihak sekolah menghargai usaha Sarawak Hidro dalam menganjurkan program seumpama itu.

“Sumbangan terbabit memberi galakan kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan akademik lebih cemerlang”,” katanya.

Pada majlis sama, syarikat itu turut menyerahkan replika cek bernilai RM29,998 untuk pembelian meja bagi kemudahan belajar dan peperiksaan.

Kedua-dua sumbangan terbabit adalah sokongan padu syarikat itu terhadap pembangunan modal insan dalam kalangan penduduk setempat yang berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:17 AM