BANGKAI beruang matahari yang ditemui terapung di Sungai Kinabatangan. FOTO ihsan BSBCC
Ardyhansah Amat

Kinabatangan: Satu bangkai beruang matahari dipercayai mati akibat pemburuan haram ditemui terapung di Sungai Kinabatangan, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 6 petang itu, bangkai haiwan berkenaan ditemui suami isteri pelancong warga Sweden ketika mengikuti bot persiaran menyelusuri sekitar Sungai Kinabatangan.

Pengasas dan Ketua Eksekutif Pusat Pemuliharaaan Beruang Borneo (BSBCC), Wong Siew Te ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Lebih menyedihkan hanya sebahagian bangkai haiwan itu ditemui, manakala sebahagian lagi termasuk hempedu dan tapak kaki belakang hilang dipercayai diambil pemburu haram.

"Sebaik menerima laporan, kami segera melakukan gerakan mencari dan menemui bangkai tersebut kira-kira 9 malam pada hari yang sama," katanya.

Wong berkata, bangkai haiwan itu diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JHL negeri William Baya berkata, pihaknya sedang mengesan pemburu haram yang menyebabkan kematian beruang matahari berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 2:40 PM