CLARE bersama Miss World Malaysia 2010, A Thanuja (kiri) melancarkan tabung kanser pangkal rahim.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Tiada wanita di Malaysia yang perlu mati akibat kanser pangkal rahim. Jika dikesan pada peringkat awal, risiko mendapat kanser boleh dikurangkan sebanyak 70 peratus, namun kanser pangkal rahim ialah kanser kedua terbesar dalam kalangan wanita di Malaysia.

Kebanyakan kanser pangkal rahim disebabkan oleh virus yang dikenali sebagai ‘human papillomavirus’ (HPV). HPV boleh merebak melalui hubungan seksual dengan seseorang yang sudah dijangkiti virus terbabit. Terdapat banyak jenis HPV, tetapi tidak semua jenis HPV boleh menyebabkan kanser pangkal rahim.

Salah satu ujian untuk mengesan kanser pangkal rahim ialah ujian Pap smear. Terdapat banyak stigma sosial mengenai ujian Pap smear kerana masih ramai yang tidak tahu mengenainya. Sesetengah orang masih memberi reaksi kurang menggalakkan apabila diminta membuat pengesanan awal dengan mengambil vaksin, mereka juga memberi alasan yang tidak wajar secara saintifik.

Oleh itu, sebagai sebuah badan bukan kerajaan kanser di Malaysia, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) berazam mendidik semua rakyat Malaysia segera mendapatkan pengesanan awal. Ia amat penting bagi menguar-uarkan dan menggalakkan wanita membuat pengesanan awal dan mendidik mereka mengenai mitos kanser pangkal rahim.

Sempena meraikan Januari sebagai bulan kesedaran kanser pangkal rahim, Kumpulan Gastrodome menjalin kerjasama dengan NCSM untuk mengisi tabung persatuan itu bagi dana program pendidikan, penjagaan dan sokongan terhadap kanser itu.

Sebagai sebahagian kempen yang dilaksanakan sepanjang Disember lalu, tabung sumbangan ditempatkan di cawangan Gastrodome apabila pelanggan restoran digalakkan membeli pin reben berwarna teal menandakan kesedaran kanser pangkal rahim setiap Januari. Sumbangan daripada pembelian pin itu disalurkan kepada NCSM.

Timbalan Presiden NCSM Clare Ratnasingham berkata, kanser pangkal rahim ialah kanser keempat terbanyak di dunia dan kedua di Malaysia dalam kalangan wanita.

Justeru katanya, amat penting agar semua pihak bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran mengenai kanser pangkal rahim sekali gus dapat mengawal penyakit ini daripada terus merebak.

Dilaporkan kira-kira 2,145 kes baru kanser pangkal rahim setiap tahun dan 621 kematian akibat penyakit ini di Malaysia.

Matlamat persatuan ini untuk mendidik wanita muda di Malaysia lebih berwaspada selain mendidik mereka mengenai kepentingan mendapatkan ujian saringan untuk langkah pencegahan awal.

“Kanser pangkal rahim boleh dicegah melalui vaksinasi HPV selain Pap smear. Kerajaan negara ini mewajibkan vaksinasi HPV di sekolah kerajaan bermula 2010 terhadap semua pelajar perempuan berusia 13 tahun bagi melindungi generasi masa depan daripada penyakit membawa maut ini.

“Bagaimanapun, masih ada pelajar dan generasi dewasa yang terlepas mendapatkan vaksinasi ini yang memerlukan kesedaran terhadap keperlukan mendesak dan begitu penting saringan dan pengesanan awal penyakit ini,” katanya pada pelancaran kerjasama NCSM dan Gastrodome di La Bodega Telawi 2, Bangsar baru-baru ini.

Justeru katanya, program seumpama ini seharusnya mendapat perhatian orang awam dan juga syarikat korporat melalui sokongan terhadap inisiatif kesedaran ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:10 AM