Paris: Paris Saint-Germain terus terhutang budi dengan Zlatan Ibrahimovic apabila jaringan pemain Sweden pada separuh masa kedua memastikan kemenangan 1-0 ke atas Toulouse dalam saingan Ligue 1.

Ia bukan perlawanan terbaik buat pasukan juara itu dan Toulouse yang berada di zon penyingkiran gagal memanfaatkan kelebihan daripada perlawanan itu apatah lagi stadium mereka yang baru dibaik pulih berjaya menarik lebih daripada 30,000 penonton.

Jaringan Ibrahimovic dari jarak dekat pada minit ke-73 selepas lorongan David Luiz berikutan sepakan penjuru Lucas untuk memberikan PSG kemenangan kesembilan berturut-turut dalam semua pertandingan dan membolehkan mereka melebarkan jurang pendahulu di puncak lima kepada 23 mata dengan Angers di tempat kedua.

Skuad Laurent Blanc masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam pertandingan domestik musim ini dan keputusan itu membolehkan mereka melebarkan rekod tanpa kalah kepada 30 perlawanan sejak Mac lalu.

“Toulouse memberikan masalah buat kami ketika serangan balas pada separuh masa pertama. Mereka berjaya memanfaatkannya. Mereka benar-benar bertahan,” kata Blanc.

“Itulah corak permainan mereka. Kami berdepan kesukaran pada separuh masa pertama kerana kami tidak mendominasi seperti biasa.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:03 AM