ERIKSEN (dua kanan) ledak dua gol.

London: Tottenham Hotspur semakin garang melangkah ke kelompok teratas Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Sunderland 4-1 pada aksi di White Hart Lane malam tadi.

Berada di tangga keempat sebelum sepak mula, Tottenham kelihatan yakin untuk berdepan Sunderland yang berada dalam zon penyingkiran ketika ini.

Bagaimanapun Sunderland terlebih dahulu membuka jaringan menerusi bek kirinya Patrick van Aanholt dengan rembatan kaki kiri hasil hantaran Adam Johnson pada minit ke-40.

Tersentak dengan kejutan Sunderland, Tottenham bingkas membalasnya menerusi jaringan pemain tengah, Christian Eriksen pada minit ke-42 untuk menjadikan kedudukan 1-1 tamat separuh masa pertama.

Anak buah Mouricio Pochettino terus menggandakan jaringan pada separuh masa kedua hasil rembatan Moussa Dembele pada minit ke-60.

Eriksen sekali lagi menceriakan penyokong Tottenham menerusi jaringan keduanya pada minit ke-67 selepas menyambut hantaran Eric Dier untuk sepakan ke arah sudut atas gawang lawan.

Penyerang sensasi Spurs Harry Kane turut tidak melepaskan peluang menyertai malam pesta gol itu apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-79 untuk menghukum anak buah Sam Allardyce.

Kemenangan itu membolehkan Spurs kekal di tangga keempat dan terus menghampiri pasukan tangga ketiga Manchester City dengan 39 mata sebelum skuad kendalian Manuel Pellegrini berdepan Crystal Palace selepas ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:11 AM