RATUSAN pendatang akan dipindahkan ke kontena yang diubah suai.
SEORANG pendatang Pakistan menjenguk di luar tingkap kedainya.
JALAN berlumpur menghubungkan restoran dan kedai yang dibina di Calais.
PEKERJA melakukan kerja pengubahsuaian 130 kontena menjadi tempat perlindungan.
JALAN David Cameron di kem pendatang Calais.

Kehadiran kedai sementara di kem pendatang di Calais Jungle (Hutan Calais) benar-benar membuktikan di mana ada peluang, di situlah rezeki. Malah kem berkenaan pada satu ketika menjadi begitu besar sehingga ada laluan yang diberi gelaran seperti jalan raya biasa, termasuk Jalan David Cameron.

Semakin kawasan itu meluas, beberapa penjual mendirikan kedai pelbagai barangan keperluan, daripada rokok hingga peralatan elektronik serta minuman ringan.

Bahagian baru kem berkenaan dibina menggunakan kontena mampu memuatkan 1,500 orang juga akan menambah pelanggan untuk golongan peniaga itu.

Bahagian baru kem di Calais bakal menjadi kediaman lebih selesa untuk ramai pendatang yang kini tinggal di dalam khemah diperbuat daripada bahan asas seperti tali dan kain tarpal dalam persekitaran serba kekurangan serta kotor yang menjadi tempat penginapan mereka sejak berbulan lalu.

Malangnya, bahagian baru kem berkenaan tidak mempunyai katil mencukupi untuk 4,000 hingga 7,000 pendatang di situ.

Perbezaan antara dua bahagian itu memang jelas apabila kontena yang diubah suai nampak selesa dan bersih berbanding kem sedia ada yang berlumpur serta kotor.

Mereka yang tidak mendapat tempat di bahagian baru kem akan disediakan pengangkutan percuma ke kem pelarian lain di Perancis selain digalakkan memohon suaka, lapor The Telegraph.

Kawasan baru dirancang dibina berhampiran Dunkirk di utara Perancis akan menjadi kem pelarian pertama negara itu sejak lebih 13 tahun lalu, namun ketua pentadbir di situ, Jean-FranÁois Corde tidak bersetuju dengan perancangan itu.

Dunkirk terletak hanya lapan kilometer dari pelabuhan feri dibimbang menjadi ‘magnet’ untuk pendatang terutama yang mahu melintas Selat Inggeris ke United Kingdom (UK). Kem di situ, terletak di Grand-Synthe, akan dilengkapi khemah dengan peralatan pemanas, bekalan air, tandas serta mandian.

Ia terletak kurang 48 kilometer dari Calais dan kosnya ditanggung Perancis. Penghuni di situ meningkat daripada 80 lebih setahun lalu kepada sekitar 3,000 orang sekarang - satu pertujuh daripada jumlah penduduk asal Grand-Synthe. Kebanyakan pendatang berbangsa Kurdis Iraq yang tinggal di kem kotor serta serba kekurangan dan berpenyakit.

Mereka menyelinap masuk ke UK dibawa penyeludup dalam lori, van serta kereta di stesen minyak atau hentian rehat tidak jauh dari pelabuhan.

Pembinaan kem di Dunkirk dikritik ramai ahli Parlimen Britain yang me–nganggap ia tidak akan memperbaiki keadaan selain gagal menghalang pelarian menyelinap masuk ke UK.

Ahli Parlimen Tim Loughton berkata: “Jika Perancis benar-benar mahu menjaga pelarian mereka sepatutnya membuat pemeriksaan di pintu masuk ke negaranya, bukan di lokasi yang menjadi titik penyeludupan masuk ke UK.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:02 AM