FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Selama: Dua puluh lima rumah di Kampung Sungai Kuning, di sini, dilanda banjir kilat selepas air Sungai Mengkuang melimpah susulan hujan lebat awal pagi ini.

Rumah penduduk dinaiki air setinggi hampir satu meter, pada kira-kira 3 pagi.

Penduduk, Mohd Ismail Kamarudin 55, berkata, hujan lebat lebih sejam membuatkan air Sungai Mengkuang naik dengan mendadak sehingga melimpahi batas ban tebatan banjir.

Menurutnya, ketika itu dia sedang tidur sebelum terjaga sejurus terdengar suara jiran.

"Sebaik terjaga dan menjejakkan kaki ke lantai, terasa sejuk kerana air sudah mula memasuki kedalam rumah.

"Terkejut dengan kejadian itu saya segera mengejutkan anak dan isteri agar berpindah ke tempat lebih tinggi serta menyelamatkan barangan penting sahaja," katanya.

Menurutnya, banjir kilat berkenaan surut beberapa jam kemudian selepas hujan berhenti dan dia serta semua penduduk yang terjejas kini sibuk membersihkan rumah yang dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 1:31 PM