ANTARA babak dalam Mad Max: Fury Road.
Susunan Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Filem arahan Alejandro Gonzalez Inarritu, The Revenant terus unggul apabila dicalonkan 12 kategori termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Academy Awards ke-88 atau Oscar 2016 yang dimumkan di Los Angeles, Amerika Syarikat, kelmarin.

Mengikuti rapat filem Mad Max: Fury Road yang unggul dengan 10 pencalonan antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Walaupun menjadi sebutan dan dijangka paling berpotensi mendominasi Oscar 2016, filem Spotlight hanya tercalon enam kategori antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Sunti–ngan Terbaik.

Berbeza seperti kebiasaan apabila 10 filem dicalonkan untuk Filem Terbaik, namun tahun ini hanya lapan filem dicalonkan iaitu The Big Short, Bridge of Spies, Brooklyn, Mad Max: Fury Road, The Martian, The Revenant, Brooklyn dan Room.

Apa yang pasti, pencalonan tahun ini ternyata penuh dengan kejutan.

Selepas menang di Golden Globe Awards baru-baru ini, pelakon aksi popular Sylvester Stallone, 69, terus mendapat perhatian apabila dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam filem Creed.

Dia antara pelakon yang mendapat pencalonan berterusan untuk watak sama.

Sebelum ini, Paul Newman memegang rekod itu yang mendapat pencalonan menerusi wataknya sebagai Fast Eddie Felson dalam filem The Hustler pada 1960. Seterusnya, dia dicalonkan semula pada 1986 untuk filem The Color of Money.

Tidak pernah dicalonkan dalam Oscar, akhirnya Charlotte Rampling dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem 45 Years.

Walaupun wujud pandangan berbeza menerusi persembahannya dalam Joy, Jennifer Lawrence turut mendapat tempat untuk Pelakon Wanita Terbaik sekali gus menjadi tahun ketiga berturut-turut dia mendapat pencalonan itu.

Malang buat The Martian, biarkan dicalonkan sebagai Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik, tetapi pengarahnya Ridley Scott tidak dicalonkan sebagai Pengarah Terbaik.

Scott pernah tiga kali dicalonkan sebagai Pengarah Terbaik dalam Oscar, namun belum pernah memenanginya.

Beberapa nama besar juga nampaknya tersasar daripada jangkaan seperti penulis skrin Aaron Sorkin untuk Steve Jobs.

Quentin Tarantino juga tidak menerima apa-apa pencalonan baik pengarahan mahupun penulisan skrip untuk filem The Hateful Eight.

Mengejutkan juga, Helen Mirren turut tidak tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Filem Carol yang berkisar kisah lesbian pada era 1950-an di New York pula tercicir daripada kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Hanya dua pelakonnya Cate Blanchett dan Rooney Mara dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Seperti tahun lalu, ada juga calon yang tidak hadir pada pengumuman pencalonan itu kelmarin.

Sementara itu, 20 calon yang hadir mengenakan busana berona putih dan #OscarSoWhite menjadi ‘trending’ di media sosial.

Oscar bakal berlangsung di Hollywood’s Dolby Theatre, Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada 28 Februari ini dan akan dihoskan Chris Rock.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 5:02 AM